clip_image002

Isu:

Para pelajar yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara yang mengalami empat musim akan mendapati waktu solat yang berbeza-beza sepanjang tahun seperti di musim sejuk khususnya di sebahagian negeri akan mengalami kesempitan masa untuk melakukan khutbah dan solat pada waktu zuhur atau disebabkan tiada peluang menunaikan solat Jumaat disebabkan urusan pengajian atau kerja kecuali pada waktu lebih awal dari waktu Zuhur atau lebih lewat darinya.

Khilaf Ulamak:

1. Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa waktu solat Jumaat ialah pada waktu Zuhur iaitu iaitu setelah matahari tergelincir ke barat tidak boleh mempercepatkan atau melambatkan dari waktu itu.

2. Boleh Solat Jumaat sebelum tergelincir matahari. Ini pendapat al-Imam Ahmad ibn Hanbal rahimahullah.

3. Mazhab Maliki mengharuskan melewatkan solat ke waktu setelah Asar kerana hajat dan bagi mencapai maslahat agama[1]

Sebab berlakunya khilaf:

Khilaf dalam memahami hadith mengenai perbuatan mempercepatkan atau mengawalkan Solat Jumaat.

Contoh 1: Daripada Sahl ibn Sa'd radiyallahu 'anhu katanya:

"Kami tidak makan tengahari atau tidur qaylulah (tidur sebentar di siang hari) pada zaman Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam melainkan setelah selesai Solat Jumaat."

[Riwayat al-Bukhariy, Muslim, Abu Dawud & al-Tirmidhi]

Contoh 2: Diriwayatkan bahawa mereka menunaikan Solat Jumaat dan bersurai dan bayang-bayang mereka tidak kelihatan pada dinding (menunjukkan seolah-olah matahari masih tegak di atas kepala kerana tiada bayang-bayang pada dinding)

[Riwayat al-Bukhariy, Muslim, Abu Dawud & al-Nasa'ie]

Mereka yang mengatakan waktu Solat Jumaat boleh didirikan sebelum tergelincir matahari menyatakan bahawa hadith-hadith ini menunjukkan Solat Jumaat pada zaman Nabi sallallahu 'alayhi wasallam ada didirikan sebelum tergelincir matahari.

Mereka yang mengatakan tidak boleh Solat Jumaat sebelum waktu Zuhur pula faham bahawa hadith-hadith ini sekadar menunjukkan Solat Jumaat ini diselesaikan pada awal waktu Zuhur. Lagi pula pemahaman golongan pertama seolah-olah bertentangan dengan hadith Anas ibn Malik radiyallahu 'anhu:

"Sesungguhnya Nabi sallallahu 'alayhi wasallam mendirikan Solat Jumaat tatkala
matahari condong."

[Riwayat al-Bukhariy, Abu Dawud & al-Tirmidhi]

Hadith-hadith sebelumnya sekadar menceritakan keadaan situasi setelah selesainya Solat Jumaat, sedangkan hadith Anas ini menyebut secara jelas dan terang mengenai waktu Solat Jumaat. Pun begitu, golongan pertama boleh mengatakan pula bahawa pemahaman mereka tidak bertentangan dengan hadith Anas kerana hadith Anas cuma menyebut waktu dengan jelas tanpa ada suruhan atau larangan padanya.

Golongan kedua turut berhujjah bahawa oleh kerana Solat Jumaat adalah ganti kepada Solat Zuhur pada hari Jumaat, maka hendaklah Solat Jumaat didirikan pada waktu Zuhur juga. Golongan pertama pula berhujjah bahawa oleh kerana hari Jumaat adalah hari raya, maka Solat Jumaat boleh didirikan dalam batas waktu Solat Eid.[2]

Adapun mazhab Maliki, ia telah memperluaskan pada waktu solat Jumaat dari segi waktu akhir dan penghabisannya. Ibn Al-Qasim berkata “ Selama mana belum terbenam matahari. Walaupun jika tidak dapat melakukan sebahagian dari solat Asar kecuali setelah terbenam”. Di sisi Sahnun pula “ Sebelum terbenam matahari sekadar tempoh khutbah dan solat serta sedikit dari solat Asar.”Sebahagian mereka berkata “Sehingga matahari menjadi kekuningan”.[3]

Penyelesaian:

Sekiranya kita bandingkan pula dengan pendapat 'ulama kontemporari, hampir kesemuanya berpendapat tidak boleh Solat Jumaat sebelum waktu Zuhur. Saya sendiri cenderung dengan pendapat majoriti. Memandangkan pendapat ini mungkin menyebabkan kesusahan di kalangan pelajar yang perlu menghadiri kuliah, maka ada sesetengah 'ulama memberi keringanan berdalilkan hadith Abu Hurayrah radiyallahu 'anhu yang masyhur daripada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam:

"...Apa yang aku perintahkan kamu maka laksanakannya semampu yang mungkin..."

[Riwayat al-Bukhariy & Muslim][4]

Bagi pelajar-pelajar, sekiranya tiada apa-apa urusan di universiti pada hari Jumaat tersebut, maka sepatutnya pergi menunaikan Solat Jumaat di masjid pada waktu Zuhur.Andainya ada urusan di kampus pada hari Jumaat tersebut, maka boleh menyertai rakan-rakan menunaikan Solat Jumaat.Hendaklah yang demikian itu dimaklumkan kepada semua umat Islam. Mereka patut mengetahui dan bersepakat sehingga mereka dapat berkumpul bagi menunaikan kewajipan mingguan mereka, sebagaimana telah perintahkan Allah dan Rasulnya.

Rujukan:

1) Fiqh Minoriti Muslim, Dr Yusuf Al-Qaradhawi, m/s 337

2) http://serinegara.blogspot.com

3) Fiqh Minoriti Muslim, Dr Yusuf Al-Qaradhawi, m/s 336-337

4) http://serinegara.blogspot.com

       Muhammad Fakhruddin Bin Ismail

          http://addeans.blogspot.com/

0 Comments:

Post a Comment