Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://addeans.blogspot.com/

 

Jika dilihat pada dunia kini ramai daripada kalangan umat islam begitu bergaya dengan hidup kebaratan. Sikap meniru-niru (musyabbahah) atau dalam erti kata lain iaitu tasyabbuh dalam meniru budaya,akidah,peribadatan atau apa sahaja peniruan yang bertentangan  dengan islam maka ia dilarang. Masalah ini banyak berlaku terutamanya dikalangan remaja muslim dan begitu pantas virusnya merebak dan seharusnya mereka menyedari bahawa kita sebenarnya tidak perlu menjadi orang lain. Umat islam seharusnya menjaga identiti muslim itu sendiri. Tidak perlu terikut-ikut dengan perasaan anda atau merasai ketinggalan hanya kerana tidak mengikuti budaya dan amalan bukan islam yang berlawanan dengan kehendak islam itu sendiri.Muslim yang mempercayai kitab al-Quran dan hadis sahih seharusnya sedar dan menggunakan akal mereka pada tempat yang benar.

clip_image001

Shahil bin Talib al-Ahmadi dalam "Pembatas kepalsuan dan kebenaran " beliau berkata:

"Manusia yang mempunyai akal yang sihat tidak akan dapat menerima dua kenyataan yang berbeza yang berlaku dalam satu masa, kedua-duanya benar. Tidak dapat tiada salah satu darinya mesti salah. Ini adalah hukum Fitrah Akal yang dicipta oleh Tuhan. Kesalahan adalah sifat manusia. Tidak diterima akal kesalahan adalah sifat Tuhan walau apa jalan sekalipun. Orang yang mengatakan Tuhan berbuat silap adalah orang yang tertipu dalam beragama. Maka adalah mustahil Tuhan menurunkan wahyunya dalam keadaan silap."

Maka apabila sesebuah kitab itu dikatakan dari firman Tuhan, ia mestilah benar maka apabila Allah mewajibkan umat islam menutup auratnya maka turutilah perintahnya. Sebab itu hati kita perlu ditanam mahabbah (cinta) pada al-Quran dan sunnah. Ini kerana keimanan hati terhadap kitab suci adalah bergantung kepada kepercayaan oleh akal kita. Hati akan menolak sesuatu yang ditolak oleh akal. Maka pupuklah dan tanamlah hati anda perasaan mahabbah pada al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Jika seseorang muslim suka meniru dan mengikut budaya barat, maka dari situ hati  anda akan merasai akrab dengan mereka dan akhirnya menimbulkan perasaan mahabbah kepada budaya dan amalan tersebut yang bertentangan dengan prinsip islam itu sendiri.

Dr 'Aidh bin Abdullah al-Qarni dalam bukunya yang bertajuk 'La Tahzan' atau tajuknya dalam penerbitan terjemahan ke dalam Bahasa Melayu ' Jangan Bersedih' beliau ada menulis:

" Jangan ikut-ikutkan, dengan kata lain, jangan mudah memakai dan meniru-niru ciri sahsiah orang lain. Kerana itu akan menjadi malapetaka yang tidak mudah diterima oleh jiwamu. Orang-orang yang lupa dengan dirinya sendiri, suaranya, gerakan tubuhnya, ucapannya, kemampuannya akan meniru-niru budaya bangsa lain. Dan itulah yang disebut dengan latah,mengada-ngada,berpura-pura dan membunuh secara paksa jati dirinya sendiri.

Ketahuilah bahawa diri anda merupakan sesuatu yang lain daripada yang lain-unik; tidak ada seorang pun yang menyerupai anda dalam catatan sejarah hidup ini, belum pernah ada seorang pun yang diciptakan sama dengan anda, dan tidak akan ada orang yang serupa dengan anda sampai bila-bila pun. Keadaan anda betul-betul berbeza dengan dengan orang lain, sebab itu jangan memaksa diri untuk berbuat latah dan meniru-niru sahsiah orang lain. Tetaplah berpijak dan berjalan pada keadaan dan sahsiah anda sendiri."

Banyak sekali panduan daripada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w kepada kita dalam persoalan mengekalkan identiti dan jati diri kita sebagai muslim. Antaranya dari sudut pakaian terutamanya aurat wanita. Islam telah menaikkan nilai martabat seorang wanita itu daripada keadaan jahiliah itu sendiri  ketahap mereka dihormati dan di pandang tinggi oleh masyarakat kerana nilai seorang wanita itu bagaikan seperti emas atau intan permata yang dijaga dan disimpan ditempat yang paling selamat. Manusia menyimpan wangnya di dalam dompet kerana ada nilai pada kertas tersebut. Begitu jugalah wanita. Nilai seorang wanita itu adalah sangatlah tingginya. Tetapi wanita sekarang seolah-olah ingin kembali kepada jahiliah itu sendiri. Mereka berjalan dihadapan kaum lelaki dengan terkoyak sana-sini dan mengghairahkan seperi keadaan jahiliah dulu atau adakah mereka memang suka jika kembali pada jahiliah itu sendiri?

Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menerangkan "Sebahagian perempuan Jahiliah apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan sebahagian kecantikannya, misalnya dada, leher dan rambut, sehingga mereka ini diganggu oleh laki-laki fasik (jahat) dan yang suka berzina.

Maka Allah telah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w dengan memerintahkan supaya wanita untuk melabuhkan jilbab mereka supaya akan dikenali sebagai wanita yang terpelihara,bersih dan suci serta tidak mudah diganggu oleh orang-orang yang suka pada kejahatan. Ayat tersebut dalam surah al-Ahzab: 59.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu."

Ini kerana pada zaman jahiliah dulu mereka menganggap wanita tiada nilai sedikit pun. Setelah datangnya islam barulah mereka ketahui ada nilai-nilai yang sangat hebat pada seorang wanita muslimah itu.

Banyak hadis Rasulullah s.a.w dalam mengingatkan umat islam supaya tidak menurut jejak langkah budaya asing malah jika dilihat pun memang perkara ini sudah berlaku. Buktinya apabila ramai dari kalangan umat islam pada hari ini gemar meniru budaya dan amalan bukan Islam. Hal ini telah digambarkan oleh Nabi SAW dalam sabdanya yang bermaksud:

"Sesungguhnya kamu akan ikut cara umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, hatta jika mereka masuk lubang biawak pun nescaya kamu akan mengikutinya." Sahabat bertanya: Golongan Yahudi dan Nasranikah(yang kamu maksudkan)? Baginda menjawab: (Kalau tidak mereka) Siapa lagi?" (Riwayat Al-Bukari dan Muslim).

Walaubagaimanapun,semoga umat islam terutamanya remaja Muslim perlu berusaha memperbaiki diri dan kekalkan jati diri anda dalam mengharungi perubahan dunia yang kadangkala melalaikan dan merosakkan diri kita sendiri.

Wallahua'lam.

____________________________________________________________

Muhammad Fakhruddin Ismail

0 Comments:

Post a Comment