Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

  http://addeans.blogspot.com/

 

Bermula 1 Mac ini kerajaan menaikkan beberapa kadar tol di kawasan Klang. Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah kerajaan itu tidak munasabah di kala rakyat sedang dibebani dengan masalah kewangan berikutan kemelesetan ekonomi ketika ini. Beliau berkata juga perkiraan kos dari segi perjanjian lebuhraya juga tidak munasabah kerana beberapa syarikat konsesi sebelum ini terpaksa membayar kos tinggi untuk memberikan habuan kepada pemimpin politik tertentu. “Kalau terpaksa dibayar kepada orang-orang politik pada ketika itu maka bebannya kepada rakyat, ini menindas namanya” [1]

tol-lah

Jika dilihat fenomena sekarang ini malah dari semenjak permulaan pembinaan sesebuah lebuhraya di Malaysia, bayaran tol akan dikenakan dengan kadar jangka masa yang panjang malah rakyat masih samar dan tidak mengetahui jangka masa sebenar tol itu dikenakan. Perkara ini seperti tidak jelas apakah kerajaan mahu menolong rakyat atau membeban lagi rakyat. Kerajaan sepatutnya jadi pemeliharaan rakyat bukannya menghisap darah rakyat. Jika hendak dikatakan tol ini dikutip oleh syarikat swasta tetapi bukankah ianya dikutip daripada hasil persetujuan dari negara juga?

Kezaliman ini menyebabkan ramai orang akan menderita dan sengsara. Tugas negara sepatutnya menghilangkan kemudaratan rakyat bukan membebankan. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh

“Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh dimudharatkan” [2]

Jadi kewajipan negara adalah menghilangkan kemudaratan kaum Muslimin bukannya memudharatkan lagi kaum Muslimin.

Diriwayatkan oleh Ma'qil bin Yasar salah seorang sahabat Nabi. Ketika dia sedang menderita sakit keras, didatangi oleh Abdullah bin Ziad --salah seorang gabenor dinasti Umaiyah-- untuk menjenguknya. Waktu itu Abdullah bertanya kepada Ma'qil: Hai Ma'qil: Apakah kamu menduga, bahawa aku ini seorang yang memeras darah haram? Ia menjawab: Tidak. Ia bertanya lagi: Apakah kamu pernah melihat aku ikut campur dalam masalah harga orang-orang Islam? Ia menjawab: Saya tidak pernah melihat. Kemudian Ma'qil berkata: Dudukkan aku! Mereka pun kemudian mendudukkannya, lantas ia berkata: Dengarkanlah, hai Abdullah! Saya akan menceriterakan kepadamu tentang sesuatu yang pernah saya dengar dari Rasulullah s.a.w., bukan sekali dua kali.

Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda demikian:

"Barangsiapa ikut campur tentang harga-harga orang-orang Islam supaya menaikkannya sehingga mereka keberatan, maka adalah menjadi ketentuan Allah untuk mendudukkan dia itu pada api yang sangat besar nanti di hari kiamat." Kemudian Abdullah bertanya: "Engkau benar-benar mendengar hal itu dari Rasulullah s.a.w.?!" Ma'qil menjawab: "Bukan sekali dua kali." (Riwayat Ahmad dan Thabarani)

Dari nas-nas hadis tersebut dan mafhumnya, para ulama beristimbat (menetapkan suatu hukum), bahawa diharamkannya menimbun adalah dengan dua syarat:

  1. Dilakukan di suatu negara di mana penduduk negara itu akan menderita sebab adanya penimbunan.
  2. Dengan maksud untuk menaikkan harga sehingga orang-orang merasa payah, supaya dia beroleh keuntungan yang berlipat-ganda. [3]

2176897085_946b7b66b8 

Malah jika dilIhat juga ianya tidak lari seperti memakan harta orang muslim secara batil. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu. [4]

Bayaran tol ini sepatutnya dijelaskan dan dimaklumkan kepada masyarakat secara  benar, tulus  amanah dan tidak menzalimi rakyat supaya mereka  tidak terkeliru dan samar.

Ini kerana apabila kesamaran yang ada unsur-unsur kejahatan yang memungkinkan dapat membawa permusuhan dan pertentangan atau memakan harta orang lain dengan cara batil maka perkara ini dilarang.[5]

Kerajaan juga sepatutnya menjaga kemaslahtan ummah tetapi sebaliknya yang berlaku. Ini kerana setiap dasar yang digubal harusnya bermatlamat mencapai segala kemaslahatan ummah.

Usaha untuk memelihara kemaslahatan dan mengelakkan kemudaratan terhadap agama, jiwa , keturunan, akal, maruah dan harta adalah wajib. Atas dasar kewajipan ini, mewujudkan satu cara atau sistem agar pemeliharaan terhadap al-Daruriyyat adalah wajib juga.[6]

Penulis tidak menyalahkan kerajaan sepenuhnya. Tetapi sebagai rakyat kami mahukan keadilan .dan tidak mahu lagi ada unsur penindasan. Ini hanya pandangan peribadi penulis sahaja.Sebarang kritikan dan maklumbalas sangat dialu-alukan.

Wallahua'lam

 

Rujukan:

  1. Sinar Harian 27 Februari 2009
  2. Lihat Fiqh Minoriti Muslim Dr Yusuf al-Qardhawi m/s 287
  3. Halal dan Haram dalam Islam Dr Yusuf al-Qardhawi bab “Penimbun dilaknat”
  4. Surah [an-Nisa’ :29].
  5. Halal dan Haram dalam Islam Dr Yusuf al-Qardhawi bab “Menjual Barang yang Masih Samar, Terlarang”.
  6. Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah oleh Hafiz Firdaus Abdullah m/s 269

 

Muhammad Fakhruddin Ismail

0 Comments:

Post a Comment