Adakah PAS Khawarij?

 

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://addeans.blogspot.com/

 

Di Malaysia ada segolongan yang begitu hebat menghentam hingga mengatakan PAS adalah khawarij. Bukan itu sahaja malah menuduh seorang tokoh yang dihormati kawan dan lawan sebagai khawarij. Adakah tuduhan itu benar?  Penulis bukan penyokong PAS  tetapi tersentak apabila melihat ada tuduhan yang dibuat sebegitu hebat terhadap sebuah jemaah yang berjuang untuk meninggikan syiar Islam. Rasanya tidak perlu dijelaskan tentang khawarij. Ini hanya jawapan  ringkas setakat  apa yang difahami. Pertama sekali tidakkah anda melihat amaran Nabi s.a.w dalam sabdanya:

" Tidak boleh seseorang menuduh orang lain dengan kefasikan dan tidak pula menuduhnya dengan kekafiran melainkan hal ini akan kembali kepadanya jika orang yang tertuduh tidak sedemikian" (Sahih Bukhari)

image

Puak-puak Khawarij menentang kerajaan pimpinan para sahabat yang menegakkan hukum Allah maka jelas perkara tersebut memang salah kerana menentang pemerintahan yang menegakkan hukum Allah. Tetapi adakah kerajaan kita sekarang ini menegakkan hukum Allah?

Kalau nak dikatakan demonstarsi jalanan menyerupai khawarij tidakkah kita ketahui jika dirujuk kepada 'Maqasid al Syaria'ah' ia mungkin di bolehkan  seandainya tidak ada cara lain untuk menegur dan membetulkan kemungkaran kecuali dengan cara keluar beramai-ramai berhimpun dengan aman. Berhimpun dengan aman dan memberontak itu berbeza.

Adakah kerana anda melihat seolah-olah  konsep perjuangan PAS itu sendiri menganjurkan untuk memberontak dan memerangi kerajaan? Adakah disebabkan hanya beberapa pengikut PAS yang tidak memahami perjuangan sebenar terus anda melabelkan sebagai khawarij? Itu bukan konsep sebenar perjuangan PAS itu sendiri.

PAS hanya bertindak MENEGUR kesalahan kerajaan, kerana terlalu banyak korupsi dan penyelewengan dalam kerajaan bukan MEMBERONTAK. Itu perbezaan yang sangat jauh.

Dalam hadis sahih Rasulullah s.a.w bersabda :

Jihad yang paling afdal ialah berkata adil terhadap pemerintah yang zalim.

Jadi salahkah menegur kerajaan? Menegur kemungkaran bukan bererti tidak taat.

Rasulullah bersabda :

" Hendaklah membenci maksiat itu namun jangan 'mencabut' tangan dari ketaatan" ( sahih Muslim).

Maka kewujudan sesuatu maksiat hendaklah dibenci dan dibantah kerana itu termasuk 'Amar Makruf Nahi Mungkar'.

Dalam hadis sahih Muslim Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda, ertinya:

“Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran maka hendaknya dia mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu maka hendaklah dia mengubah dengan lisannya. Dan jika tidak mampu juga, maka hendaknya mengingkari dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman.”

Jika kita lihat Nabi Muhammad s.a.w juga menyebarkan Islam dekat Mekah, ada pembesar-pembesar Quraisy tetapi adakah dikira memberontak kerana dakwah Nabi melawan dan meremeh-remehkan akidah mereka dan menghentam segala bentuk ‘sistem kufur’ yang mereka amalkan?

Saidina Abu Bakar r.a ketika menjadi Khalifah pernah berkata:

“Taatilah kepada aku selagi aku taat kepada Allah. Sekiranya aku menyeleweng atau melanggar perintah Allah jangan taat kepada aku. Tentanglah aku sehingga aku kembali kepada hukum Allah.”

Amat salahlah mengatakan Rasulullah s.a.w berdakwah hanya dari segi akidah, ibadah atau akhlak sahaja tanpa mengaitkannya dengan siyasah atau politik iaitu mengurus urusan umat. Memang tidak dinafikan akidah adalah keutamaannya tetapi Nabi s.a.w melakukan tarbiyyah dan tashfiyyah sambil berdakwah dan berjihad. Jika lihat banyak ayat al-Quran yang menyentuh tentang aspek siyasah di dalam dakwah Rasulullah s.a.w walaupun ketika itu masih di peringkat awal dakwah di Mekah.

Rasulullah di peringkat awal dakwah lagi telah diperintah oleh Allah agar melakukan aktiviti siyasah dengan melawan sistem kufur yang dipraktikkan dan membetulkan sistem tersebut. Antaranya seperti dalam Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka minta dipenuhi dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.” [al-Muthaffifin :1-3].

Dalam suatu riwayat dikemukakan bahwa ketika Rasulullah saw. sampai ke Madinah, diketahui bahawa orang-orang Madinah termasuk yang paling curang dalam sukatan dan timbangan. Maka Allah menurunkan ayat tersebut  sebagai ancaman kepada orang-orang yang curang dalam menimbang. Setelah ayat ini turun orang-orang Madinah termasuk orang yang jujur dalam menimbang dan menyukat. (Diriwayatkan oleh an-Nasa'i dan Ibnu Majah dengan sanad yang shahih yang bersumber dari Ibnu Abbas.).[Dipetik dari Al-Quran Digital]

Dalil tersebut menunjukkkan dimana Rasulullah s.a.w   membantah sistem ekonomi yang diamalkan oleh kafir Quraisy yang suka menipu. Maka tidak salah jika parti PAS menegur kerajaan jika berlaku penyelewengan dan korupsi dalam kepimpinan tersebut. Mungkin ada beberapa perkara kita tidak setuju dengan cara mereka tetapi menuduh mereka sebagai khawarij amatlah buruk sikap tersebut terhadap sesuatu jemaah dan tidak menunjukkan displin dan akhlak dalam berdakwah.

 

Wallahua'lam.

_________________________________________________________

Muhammad Fakhruddin Ismail

0 Comments:

Post a Comment