Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://addeans.blogspot.com/

 

Tidak salah jika dikatakan ramai dikalangan muslimin samaada penulis atau siapa-siapa sahaja begitu berat untuk memberi salam kepada saudaranya terutama sekali seakidah dengan kita seolah-olah mulutnya terkunci dan pandangan menjadi berat untuk mengucapkannya dan memberikan senyuman.

photos-65 

Padahal islam telah mengajar kita untuk memberi salam kepada muslim kerana ia akan menyemaikan rasa cinta dan mengeratkan lagi silaturrahim. Dalam hadis sahih muslim daripada Abu Hurairah ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman, dan kalian tidak beriman sampai kalian sehingga kalian saling mengasihi dan mencintai, apakah kalian mahu aku tunjukkan kepada sebuah amalan yang apabila kalian amalkan, kalian akan saling mengasihi dan mencintai?, terbarkanlah salam diantara kamu".

Bukan itu sahaja malah jika dilihat masyarakat islam kini hanya memberi salam kepada golongan yang dikenali sahaja. Kondisi seperti inilah dapat kita saksikan pada masa sekarang ini malah jelas ia bertentangan dengan sunnah, kerana Rasulullah SAW menganjurkan menyebarkan salam kepada orang yang dikenali mahupun yang tidak dikenali. Itu adalah diantara tanda-tanda dekatnya hari kiamat dimana adanya orang-orang yang hanya mahu mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja.Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat pengucapan salam itu hanya untuk orang-orang tertentu sahaja [iaitu yang dikenali]". (Musnad Ahmad 5:333. Al-Albani berkata : Ini adalah isnad yang shahih menurut syarat Muslim :Silsilatul Ahaditsish Shahih 2:251. hadits nombor 647 )

Lebih buruk lagi apabila apabila ada non-muslim memberi salam maka dijawabnya dengan ucapan yang buruk. Padahal apabila non-muslim (kafir zimmi) memberi salam sepatutnya menjawab salam tersebut seperti mana kita menjawab salam  dengan muslim itu sendiri. Allah berfirman:

Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungankan segala sesuatu. (An Nisaa' :86)

Perkara sebeginilah yang diajar Rasulullah SAW kepada para sahabat. Tapi sebaliknya yang berlaku. Masyarakat islam kini tidak mencerminkan akhlak tentang islam itu sendiri pada non-muslim sehingga mereka menganggap islam itu tidak sedemikian rupa.

Telah diriwayatkan bahawa seorang Majusi telah mengucapkan kepada Ibn Abbas: "Assalamu'alaikum"

Ibn Abbas  berkata:"Wa'alaikumussalam  warahmatullah".

Lalu sebahagian  sahabat-sahabatnya berkata:

"Adakah awak berkata warahmatullah (dan rahmat Allah)?" Dia menjawab: "Tidakkah dengan rahmat Allah dia hidup." (Fiqh Minoriti Muslim oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi " Mengucapkan Tahniah Kepada Ahli Kitab Terhadap Kebesaran Mereka"- m/s 447)

 

Jika dilihat perkara seperti ini telah dilakukan oleh sahabat seperti Ibn Abbas sendiri maka mengapa kita tidak mencontohinya sahaja. Bukankah sahabat itu sebaik-baik generasi? Hal ini jelas seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Sebaik-baik manusia adalah generasiku kemudian generasi yang datang setelah mereka, kemudian generasi lain yang datang setelah mereka." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Malah naib presiden majlis penyelidikan dan fatwa Eropah Syeikh Faisal Mawlawi   di dalam laman webnya menyebut bukti-bukti yang lebih jelas bahawa memberi dan menjawab salam kepada orang bukan islam itu adalah dibenarkan.Jika dilihat dari konteks dakwah ia dapat mendekatkan mereka kepada islam dan menanam rasa kasih sayang kepada umat islam. Jadi pendekatan seperti inilah yang sepatutnya umat islam lakukan bukannya dengan menjawab  dengan ucapan yang buruk.

Di antara petunjuk Rasulullah SAW adalah memulai ucapan salam kepada siapa saja yang beliau temui, ia berbeza dengan orang yang sombong seolah-olah mereka mahu dihormati dengan menunggu panghormatan salam daripada orang  tersebut. Namun Rasulullah SAW menegaskan bahawa yang memberi salam adalah yang paling utama daripada yang menjawabnya. Rasulullah SAW bersabda:

"Orang yang lebih dekat kepada Allah s.w.t. adalah yang lebih dahulu memberi Salam." (Musnad Ahmad, Abu Daud, dan At Tirmidzi)

Maka sewajarnya kita yang mengakui sebagai seorang muslim dan mengaku Rasulullah SAW sebagai contoh dan ikutan kita hendaklah tidak mengabaikan tuntutan beliau agar sunnah Rasulullah SAW ini kembali diamalkan oleh umat islam dan dapat menonjolkan kembali imej islam itu sendiri kepada masyarakat bukan islam.

 

Muhammad Fakhruddin Ismail

 

1 Comment:

  1. Anonymous said...
    testing

Post a Comment