Ahmad Jailani Abdul Ghani
Apa dia nusyuz? Apa dia syiqaq? Nusyuz ialah perbuatan isteri yang derhaka kepada suami. Manakala syiqaq ialah perbalahan suami isteri yang tidak dapat diselesaikan. Ramai isteri yang dianiaya suami, enggan atau dihalang keluar dari rumah mereka walaupun rumah mereka adalah azab dunia yang tidak terperi lantaran kezaliman yang dilakukan suami terhadap mereka, disebabkan takut kepada perkataan nusyuz berlaku kepada mereka
Para suami hari ini pula mungkin terlupa dan mungkin perlu diingatkan bahawa mereka akan mati dan menemui Allah SWT bersama-sama dengan semua amalan baik & jahat yang mereka lakukan di dunia ini termasuk segala sepak terajang, flying kick, helicopter kick, hantuk kepala ke dinding, tampar, tumbuk dan sebagainya yang telah mereka lakukan di dunia ini terhadap isteri-isteri mereka.
Mereka juga perlu diancam dan diperingatkan bahawa Allah SWT Maha Mengetahui akan penderaan yang "invisible" yang mereka lakukan terhadap isteri mereka. Penderaan secara halus, mentally tortured, kadang-kadang jauh lebih menyeksakan berbanding penderaan fizikal. Tujuan para suami berbuat demikian kerana mereka mahu isteri mereka akan meminta cerai dan ini akan menyebabkan para isteri dipandang serong kerana meminta cerai lalu dicerca dengan perkataan "isteri yang meminta cerai takkan berbau syurga" sedangkan hakikat sebenarnya suami itu yang mahukan perceraian kerana sudah ada gadis atau janda yang tidak sabar menanti keruntuhan rumahtangga berkenaan.
Maka, si isteri tetap berada di rumah yang bagaikan neraka dunia itu walaupun mengalami trauma melampau seperti terbangun ketakutan di tengah malam hanya kerana terdengar batuk suami disebelah.
Kepada para isteri yang teraniaya, dengarlah nasihat saya ini. Islam bukanlah suatu agama yang zalim sehingga memaksa puan-puan tetap berada dalam neraka dunia. "La darara wa la dirar" (Tiada mudarat dan tidak memudaratkan) sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Malik Bin Anas di dalam Al-Muwattha'nya, menjadi satu kaedah untuk melindungi para isteri tersebut dan mereka dibenarkan keluar dari neraka dunia itu jika ia akan memudaratkan nyawa, diri atau harta benda mereka. Percayalah, kalian tidak nusyuz dan tidak berdosa jikalau kalian keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. Malah dalam keadaan yang ekstrem, wajib mereka keluar dari rumah tersebut.
Itulah yang dinamakan syiqaq, perbalahan suami isteri yang tidak dapat diselesaikan dan memerlukan kepada kuasa mahkamah atau hakim untuk menjadi pemutus yang memuktamadkan hubungan antara dua insan yang dahulunya saling cinta-menyintai tetapi selepas beberapa tahun menjadi seperti anjing dan kucing, satunya pemangsa, satu lagi mangsa.
Sekian
Sumber: Institut al-Qayyim