Falsafah Jihad Ekonomi

Ramai orang bertanya:

Apakah yang perlu kami lakukan demi membantu saudara-saudara kami para mujahidin  di Palestin dan tempat-tempat lain?

Apakah yang perlu kami lakukan untuk mempertingkatkan usaha jihad ekonomi?

Apakah yang perlu kami lakukan untuk mempertingkatkan usaha pemboikotan secara umum?

HusainSyahatah

Sebagai jawapannya, saya mengatakan bahawa jihad ekonomi hendaklah berdasarkan kepada tindakan, bukan kepada perkataan semata-mata. Wajib ke atas setiap orang Islam yang beriman bahawa jihad adalah suatu kefardhuan syarak, keperluan akidah, kewajipan agama dan tanah air, melaksanakan perkara-perkara berikut:

Pertama: Menyedar dan menyeru masyarakat agar melakukan pemboikotan ekonomi dan berjihad dengan harta pada jalan Allah. Ia bermula dari rumah ke rumah, kemudian masyarakat, kemudian institusi-institusi dan akhirnya kerajaan. Ini adalah peringkat iman yang paling lemah. Alangkah baiknya jika kerajaan menggunakan segala jenteranya termasuk media massa untuk memberikan penerangan bahawa pemboikotan ini adalah suatu kefardhuan syarak, keperluan akidah, kewajipan agama dan tanah air, agar para ulama dapat memberikan sumbangan dalam hal ini.

Kedua: Sentiasa sedar waspada terhadap tipu daya Amerika dan Yahudi, kerana mereka menghantar barangan mereka tanpa menulis ‘dibuat di Israel’. Oleh itu, negeri asal sesuatu barangan dibuat hendaklah sentiasa dipastikan. Ini menjadi tanggungjawab kerajaan, para pengimpot dan para pengguna sendiri. Mereka sama sahaja di hadapan Allah daripada sudut pertanggungjawaban.

Ketiga: Hendaklah memberikan keutamaan kepada barangan tempatan, atau yang dikeluarkan oleh negara-negara Arab dan Islam, atau oleh negara asing yang tidak bermusuh dengan Islam serta orang-orang Islam, dan tidak menyokong Israel.

Keempat: Hendaklah berdikari dan mengembangkan segala industri tempatan, terutamanya pada barangan yang banyak diimpot dari luar. Kesepaduan dan penyelarasan juga hendaklah dilaksanakan antara negara-negara Arab dan Islam.

Kelima: Menolak bantuan Amerika. Sesiapa yang tidak memiliki kekuatan, maka dia tidak mampu membuat keputusan sendiri. Kita juga hendaklah beramal dengan pesanan Rasulullah saw yang sentiasa menggesa agar kita sentiasa bekerja dan menjadi produktif. Sabda baginda saw yang bermaksud: “Mancari (harta) yang halal adalah suatu kefardhuan selepas sembahyang fardhu.” (Diriwayatkan oleh al- Tabarani) Baginda saw juga mencela perbuatan meminta-minta. Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a. bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud: “Jika seseorang sentiasa meminta-minta (sedekah), maka dia akan menemui Allah dalam keadaan mukanya tidak mempunyai daging.” (Muttafaq ‘alaih)

Keenam: Menggunakan matawang Euro ketika melakukan transaksi perdagangan sebagai ganti daripada penggunaan dolar Amerika. Ini akan melemahkan ekonomi pihak musuh. Setiap individu, syarikat, ahli korporat, institusi-institusi kerajaan berkewajipan menukar bentuk simpanan, pelaburan dan transaksi perdagangan daripada matawang dolar kepada matawang negara, sama ada negara Arab atau negara Islam lain.

Ketujuh: Tidak berurusan dengan bank-bank Amerika dan Zionis. Keutamaan hendaklah diberikan kepada bank-bank Islam dan negara Arab agar ia bertambah kukuh dan dapat merealisasikan perkembangan yang sihat bagi ekonomi negara.

Kelapan: Membatalkan atau menggantung (ikut keadaan) segala kontrak perdagangan yang telah sedia termeterai dengan pihak musuh secara beransur-ansur dalam rangka perancangan menyeluruh dan berdasarkan strategi berperancangan. Kontrak-kontrak itu digantikan dengan pihak-pihak yang paling kurang pun tidak memperlihatkan permusuhannya terhadap Islam dan ummatnya serta tidak menyokong pihak musuh.

Kesembilan: Tidak menggunakan khidmat yang disediakan oleh firma-firma kepakaran Amerika yang diragui. Pada zahirnya, ia kelihatan amat baik bagi kita, namun sebenarnya ia amat merosak dan membahayakan. Kita hendaklah bergantung kepada para pakar kita yang seharusnya mendapat perhatian yang lebih daripada kita. Daripada kajian-kajian lapangan yang dijalankan, jelas menunjukkan kebanyakan firma tersebut sebenarnya menjalankan tugas-tugas risikan dan pengumpulan maklumat kepada pihak musuh.

Kesepuluh: Pihak pemerintah hendaklah memberikan kebebasan kepada rakyat untuk melaksanakan tugas mereka iaitu melaksanakan ketetapan-ketetapan yang diambil oleh jawatankuasa, badan dan pertubuhan mereka untuk melakukan pemboikotan ekonomi. Pihak kerajaan juga hendaklah tidak mengambil tindakan-tindakan pembenterasan seperti penangkapan, penahanan dan pembunuhan terhadap para pemuda yang sedang bersemangat demi membantu saudara-saudara mereka di Palestin dan di tempat-tempat lain. Pihak kerajaan juga hendaklah membebaskan mereka yang menjadi tahanan politik agar semuanya berdiri di dalam satu barisan kekuatan menentang musuh kerana membenarkan firman Allah swt (al-Anfal: 45-46) yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” Firman Allah lagi (Ali ‘Imran: 103) yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu- padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang- orang Islam yang bersaudara.”

Kesebelas: Sentiasa memperbaharui niat yang ikhlas bahawa segala amalan yang dilakukan ini hanya kerana Allah, bukan kerana hawa nafsu sedikitpun. Matlamat utama dalam segala amalan salih yang dilakukan ialah bagi memperolehi keredhaan Allah semata-mata. Benarlah firman Allah swt (al-Kahf: 110) yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.

Sumber:

Jihad Ekonomi "Kefarduan Syarak dan Tuntutan Iman "oleh Dr Husain Shahatah

 

           Muhammad Fakhruddin Ismail

               http://addeans.blogspot.com/

0 Comments:

Post a Comment