Oleh
Muhammad Fakhruddin Ismail
Pendedahan ini mungkin akan mengejutkan kebanyakan umat islam dan hindu. Adakah Muhammad itu adalah umat bagi Hindu ? Adakah boleh dikategorikan sebagai Ahli Kitab? Sedangkan apa yang diketahui Ahli Kitab hanya Yahudi dan Kristian. Disini akan dibincangkan siapakah sebenarnya agama Hindu. Tetapi tidak mustahil Muhammad itu juga umat bagi Hindu.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam."( Al-Anbiya' ayat 107)
Maka amat jelaslah bahawa risalah yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah bersifat universal kerana Baginda diutus untuk segenap umat manusia samada islam atau bukan islam. Jika kita lihat memang islam telah menyatakan sebelum Al-Qur'an dan nabi Muhammad ,memang sudah terdapat ajaran dan kitab-kitab suci dari Tuhan. Jadi tidak mustahil kitab Al-Qur'an memang terdapat dalam kitab-kitab yang terdahulu. Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya Al Quran itu benar-benar (tersebut) dalam Kitab-kitab orang yang dahulu".(Asy Syu'araa':196)
Diharap pendedahan ini walaupun tidak kesemuanya ditulis tetapi ia dapat disebarkan dan dijelaskan kepada mereka serta dijadikan ia sebagai alat untuk menyebarkan dakwah islam dan ini dapat memperkukuhkam lagi persaudaraan kaum muslim dan Hindu.
Berikut adalah pembentangan oleh Dr. Zakir Abdul Karim Naik mengenai "Persamaan Antara Hindu dan Islam". Beliau merupakan seorang yang pakar dalam perbandingan agama di peringkat antarabangsa dan terkenal dengan teknik pidato dan debatnya yang sangat mantap dan berkesan.
Dalam surah Ali 'Imran Ch.3:V.64 Allah berfirman:
Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah." Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)."
Ayat ini walaupun pertama kali ditujukan kepada Ahli Kitab pada orang Yahudi dan Kristian tapi secara umum dapat digunakan bagi setiap orang yang berbeza keyakinan dan ini adalah ayat terbaik dapat digunakan ketika kita berbicara dengan sesiapa. Jika ajakan ini tidak dihiraukan untuk memahami agama tertentu dengan melihat para pengikut agama tertentu tapi dalam waktu yang sama ternyata orang tersebut tidak faham akan agamanya.Kerana itulah yang paling baiknya dengan cara memahami kitab suci tersebut secara langsung.
Ingin faham ajaran Hindu ,pelajarilah rahsia kitab sucinya yang paling dikramatkan adalah Weda. Sebagai pelengkapnya adalah Upanishad,Ityas, Ramayana,Mahabarata,Bhagavad gita, Puranas dan banyak lagi yang lainnya.
Definisi Hindu
Istilah Hindu memiliki definisi geografis, iaitu orang atau keadaan orang yg menghuni di sekitar sungai Sindu atau merujuk pada orang yang tinggal di tanah dan air sungai Indus.Menurut ahli sejarah, kata Hindu pertama kali dipergunakan oleh orang Persia ketika pertama datang ke India melalui jalan sebelah barat laut Himalaya.Kata Hindu juga digunakan oleh orang Arab. Menurut Encyclopedia of Religion and Ethics vol. 6 ref 699 : kata Hindu tidak ada disebutkan dalam setiap literatur India, bahkan dalam kitab sucinya sendiri sebelum orang Muslim datang ke India.
Menurut Jawaharlal Nehru dalam bukunya : Discovery of India page : 74 - 75 -bahawa kata Hindu pertama kali digunakan pada abad ke 8 pada masa Persia, dan tidak pernah digunakan untuk menerangkan pengikut agama tertentu, tapi untuk menunjukkan suatu komuniti masyarakat. Dan kata Hindu pertama kali digunakan oleh orang Inggeris, yang menerangkan sekelompok kepercayaan sebahagian besar orang India.
Menurut Encyclopedia Britanica vol. 20 Ref. 581 : kata Hindu pertama kali digunakan oleh penulis Inggeris pada tahun 1830 untuk menggambarkan keadaan dan kepercayaan orang India. Dan kerana berasal dari orang Inggeris, maka kata itu sekarang menjadi bahasa Inggeris.
Sebenarnya orang Hindu terpelajar keberatan terhadap penggunaan kata itu, karena menurut mereka itu salah kafrah. Seharusnya nama agama Hindu adalah : Sanatana Dharma (agama yg abadi), Vedic Dharma (agama Weda), atau Vedantist (pengikut Weda). Hal ini kerana kata Sanata Dharma, Vedic, ataupun Vedantist memang ada tersebut dalam kitab-kitab suci Hindu. Istilah sangat tepat.Apalagi saat ini agama Hindu sudah menyebar ke seluruh dunia, bukan hanya menjadi kepercayaan yang dianuti oleh orang India saja.
Definisi Islam
Islam berasal dari kata bahasa arab "salam" yang artinya "damai", atau kata "Silm" yang ertinya penyerahan diri pada Tuhan. Jadi Islam bererti : kedamaian yang didapat karena penyerahan diri pada Allah. Dan semua yang menyerahkan diri kepada Allah disebut muslim.
Kata Islam banyak terapat dalam Qur'an dan hadits nabi seperti di QS. Al-Baqarah(2) : 208, sedangkan kata muslim banyak juga terdapat dalam Qur'an & hadis seperti pada QS. Ali Imran(2) : 64.Jadi salah fahaman jika menyatakan islam itu agama yang baru.Islam sudah ada sejak dahulu, sejak manusia pertama ada di bumi ini. Nabi Muhammad bukanlah pendiri Islam, melainkan penutup para Rasul Allah. Pada beliaulah diturunkan Al-Quran.
Konsep Hindu tentang Tuhan
Kebanyakan orang Hindu awam mempercayai Tuhan boleh ada 1, 10 ,100, 1000, atau mungkin sejuta. Tapi kalangan Hindu yang terpelajar yang mempelajari kitab suci mereka akan menjawab bahawa ajaran Hindu hanya percaya pada satu Tuhan.
Tapi kebanyakan Hindu beriman pada filsafat Phanteism/Fantaisme (Pancaran), yaitu 'Everything is God" (semua adalah Tuhan). bulan, bintang, matahari bahkan ular sekalipun dianggap Tuhan. Sedang muslim percaya bahawa "Everything is God's" (semuanya milik Tuhan). Pohon,matahari ,bulan kera,ular juga milik Tuhan. Dalam Hindu=God, dalam Islam=God's, perbezaannya hanya pada " 's ". Maka jika mat Hindu dan Islam sepakat pada "s" ini maka mereka akan bersatu.
Kitab Suci Hindu Tentang Tuhan
Dalam kitab Upanishad :
a) Chandogya Upanishad Ch. 6 Sec. 2 V. 1 bahawa Tuhan hanya ada satu.
b) Shvetashvatara Upanishad Ch. 6 V. 9 bahawa Tuhan itu tidak punya ibu dan bapa, Dia tidak punya tuan dan pelindung.
c) Shvetashvatara Upanishad Ch. 4 v. 19 bahawa Tuhan itu tidak ada sesuatupun yang menyerupai Dia
d) Shvetashatara Upanishad Ch. 4 v. 20 bahawa Tuhan tidak boleh dilihat. Tidak ada orang yg mampu melihat dengan mata.
Dalam kitab suci Hindu yg paling banyak dibaca adalah Bhagavad Gita :
a) Dalam Bhagavat Gita Ch. 10 V. 3 bahawa Tuhan yang tidak dilahirkan, tak ada permulaan, Tuhan seru sekalian alam.
Dalam kitab utama Hindu, Veda seperti yang disebut dalam Yahurveda :
a) Yajurveda Ch. 32 V. 3 bahawa tidak ada rupa bagi Tuhan, Dia tidak pernah dilahirkan, Dia yang berhak disembah
b) Yajurveda Ch. 40 V. 8 bahawa Tuhan tidak berbentuk dan dia suci
c) Yajurveda Ch. 40 V. 9 bahawa "Andhatma pravishanti" ertinya memasuki, dan "assambhuti" ertinya benda/alam seperti api, air, dan udara. Maksudnya mereka yg menyembah benda/alam spt api, air, udara, selanjutnya dia memasuki dunia gelap
d) Atharvaveda Bk. 20 Hymn 58 V. 3 bahawa sungguh Tuhan itu Maha Besar
e) Rigveda Bk. 1 Hymn 164. V. 46 bahawa : Tuhan itu Maha Esa, panggillah Dia dg berbagai nama.
f) Juga diulangi pada Rigveda Bk. 10 Hymn 114 V. 5 menyatakan Tuhan itu satu tapi Dia disebut dg nama yg bermacam-macam
g) Pada Rigveda Bk. 2 Hymn 1 menyatakan bahwa ada 33 nama yg ditujukan pada Tuhan, diantaranya :
- Rigveda Bk. 2 Hymn 1 V. 3 : Brahama (pencipta), bahasa arabnya "Choliq'. Umat muslim tidak keberatan kalau Allah dipanggil dengan Khalik atau Creator, atau Brahama. Tapi kalau orang menyebutkan Brahama itu adalah Tuhan yg berkepala 4 dg mahkota, tapi umat islam sangat tidak setuju.
- Shvetashvatara Upanishad Ch. 4 V. 19 bahawa tidak ada satupun makhluk yg menyerupai Tuhan.
- Rigveda Bk. 2 Hymn 1 V. 3 : Vishnu (Wishnu) artinya Sustainer (pemelihara alam), yg memberi rezeki. Bahasa arabnya adalah "Rabb". Orang muslim tidak keberatan Allah disebut Rabb, Vishnu, Sustainer, Cheriser. Yang jadi masalah adalah Vishnu adalah Tuhan yang punya 4 tangan, tiap tangan memegang cakra, tangan kirinya memegang rumah kerang, menaiki seekor burung garuda sambil bersandar pada gulungan ular. Umat muslim tidak boleh menerima itu.
h) Dalam Yajurveda Ch. 32 V. 3 menyebutkan tidak ada rupa bagi Tuhan
i) Rigveda Bk. 8 Hymn 1 V. 1 menyebutkan kami tidak menyembah kecuali Tuhan yg satu
j) Rigveda Bk. 6 Hymn 45 V. 16 menyebutkan "sembahlah Dia saja, Tuhan yang sesungguhnya"
k) Dalam Brahama Sutra disebutkan : "Hanya ada satu Tuhan, tidak ada yangg kedua. Tuhan tidak berbilang sama sekali".
Konsep Tuhan menurut Islam
Jawaban terbaik seorang muslim tentang Konsep Tuhan dalam islam ialah QS. Al-Ikhlas (112) : V.1 - 4 :
- Ayat 1 : Katakanlah, "Dialah Allah, Yang Maha Esa"
- Ayat 2 : Allah tempat meminta segala sesuatu
- Ayat 3 : Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan.
- Ayat 4 : dan tidak ada sesuatupun yang menyerupai-Nya.
Ternyata surah Al-Ikhlas tersebut mempunyai kesamaraan dalam kitab-kitab Hindu tersebut seperti:
- QS. Al-Ikhlas : 1 = Chandogya Upanishad Ch. 6 Sec. 2 V. 1 iaitu Tuhan hanya satu tidak ada sekutunya.
- QS. Al-Ikhlas : 2 = Bhagavat Gita Ch. 10 V. 3 iaitu Dia adalah Tuhan semesta alam.
- QS. Al-Ikhlas : 3 = Shvetashvatara Upanishad Ch. 6 V. 9 iaitu Tuhan tidak punya ibu dan bapa .
- QS. Al-Ikhlas : 4 = Shvetashvatara Upanishad Ch. 4 v. 19 dan Yajurveda Ch. 32 V. 3 iaitu bagi Dia tidak ada yg menyerupai Tuhan .
Rujukan:
Perbentangan oleh Dr. Zakir Abdul Karim Naik mengenai "Persamaan Antara Hindu dan Islam".
Muhammad Fakhruddin Ismail
Oleh
Muhammad Fakhruddin Ismail
Sering kali kita mendengar apabila seseorang itu belajar dengan kitab sahaja tanpa bimbingan guru maka ia dianggap boleh jadi sesat kerana belajar tanpa guru maka yang ketiganya adalah syaitan. Itu semua hanyalah gimik belaka untuk menakut-nakutkan manusia malah tiada hadis sahih yang mengatakan belajar tanpa guru umpama belajar dengan syaitan.Bagaimana kita boleh begitu pasti mereka kemungkinan boleh jadi sesat sedangkan apa yang kita lihat sekarang kebanyakannya yang berguru adalah yang sesat. Lihat sajalah senarai ajaran-ajaran sesat yang telah diwartakan oleh JAKIM kebanyakannya adalah berguru. Maka mana yang benarnya belajar dengan guru atau tanpa guru?
Adakah kerana apabila ada guru maka apabila berlaku kesilapan pada anak murid, maka guru tersebut boleh membetulkan? Itu memang tidak dapat dinafikan tapi adakah guru itu semua apa yang diperkatakannya betul? Jika dah guru itu sesat diajarnya lagi ajarannya tidak sesatkah anak muridnya? Mana anda mahu pilih guru yang hanya mengajar tanpa membawa hujjah yang kukuh atau belajar dengan satu kitab ulamak yang diketahui kejujurannya, amanahnya, ketsiqahannya dan ketinggian ilmunya?
Sebenarnya kedua-duanya adalah sama samaada berguru atau tidak tapi mestilah ada keikhlasan dan tidak ada sikap taksub pada kitab atau guru tersebut. Tapi yang berguru diberi keutamaan.Yang penting mendahulukan Al-Quran dan sunnah daripada guru. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya tidaklah kamu akan sesat selamanya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah rasulnya".(Riwayat Malik dalam Muwatha no.898 ).
Maka jelas selagi kita berpegang dan mendahulukan Al-Quran dan sunnah dari segala-galanya dalam sesuatu perkara maka Rasulullah s.a.w mengatakan "tidaklah kamu akan tersesat selama-lamanya".
Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin pernah ditanya tentang perkara tersebut. Beliau menjawab:
"Tidak diragui lagi bahawa ilmu boleh diperolehi dengan mempelajarinya daripada para ulama dan daripada kitab. Ini kerana, kitab seorang ulama adalah ulama itu sendiri, dia berbicara kepadamu tentang isi kitab itu. Jika tidak dapat menuntut ilmu daripada ahli ilmu maka dia boleh mencari ilmu daripada kitab. Akan tetapi memperolehi ilmu melalui ulama lebih dekat (mudah) daripada memperolehi ilmu melalui kitab, ini kerana orang yang memperolehi ilmu melalui kitab akan banyak menemui kesulitan dan memerlukan kesungguhan yang besar, dan akan banyak perkara yang akan dia fahami secara samar sebagaimana terdapat di dalam kaidah syar'iyyah dan batasan yang ditetapkan oleh para ulama. Maka dia hendaklah mempunyai tempat rujukan di kalangan ahli ilmu semampu mungkin.
Adapun perkataan yang menyatakan: "Barangsiapa yang gurunya adalah kitabnya maka kesalahannya akan lebih banyak dari pada benarnya." Perkataan ini tidak benar secara mutlak, tetapi juga tidak salah secara mutlak. Jika seseorang mengambil ilmu daripada semua kitab yang dia lihat, maka tidak diragukan lagi bahawa dia akan banyak melakukan kesalahan. Adapun orang yang mempelajarinya bersandarkan kepada kitab-kitab orang-orang yang telah dikenal ketsiqahannya, amanahnya, dan ilmunya, maka dalam hal ini dia tidak akan banyak salah bahkan dia akan banyak benarnya dalam perkataannya.' [link]
Maka agama ini perlu dilihat dari segi hujjah kerana islam datang dengan hujjah. Hujjah mesti beserta dengan ilmu yang terang dan nyata bukannya kerana dia seorang aliran agama dan tahu bahasa arab maka itu adalah hujjah. Itu semua hanyalah tipu daya syaitan untuk mengelirukan manusia. Yang penting kefahaman tentang islam dan mempunyai fakta yang kukuh seperti mana yang dikatakan oleh Dr Asri Zainul Abidin:
"Hari ini ramai profesional yang tidak bergelar ustaz tetapi lebih mantap ilmunya daripada yang bergelar ustaz. Lihat seperti moderator fikrah.net; Tuan Hasan Tuan Lah, juga Kapten Hafiz Firdaus dan lain-lain yang berkemampuan. Mereka seperti ini berhak campur tangan dalam hal ilmu kerana mereka ada fakta". Nabi s.a.w menyebut:
" Manusia bagaikan bahan galian,seperti galian emas dan perak. Mereka yang terpilih semasa jahiliah, terpilih juga semasa Islam sekiranya mereka itu memahami islam"( Riwayat al-Bukahri dan Muslim)
Dalam buku Kapten Hafiz Firdaus Abdullah "7 Tipu Daya Syaitan Ke Atas Umat Islam" beliau ada meletakkan tiga bisikan syaitan untuk menakutkan umat Islam dari menghampiri al-Qur'an dan al-Sunnah iaitu:
Bisikan Pertama:
"Siapa menuntut ilmu tanpa guru maka dia menuntut
ilmu dengan syaitan".
Bisikan ini amat masyhur sehingga ia berjaya menakutkan ramai umat Islam dari menuntut ilmu tentang agama mereka.Bahkan ada yang menganggapnya sebagai sebuah hadis.Sebenarnya berguru memang penting dalam Islam. Maksud berguru ialah seorang yang rendah ilmunya menuntut daripada seorang yang lebih tinggi ilmunya. Cara atau sarana berguru boleh berbeza-beza seperti pembacaan, menonton program di TV, mendengar rakaman, berdialog di internet dan duduk berhadapan(face to face). Oleh itu, sebagai contoh, jika seseorang sedang membaca buku Imam al-Nawawi rahimahullah, bererti dia sedang berguru dengan beliau.
Akan tetapi syaitan telah masuk campur merosakkan maksud berguru. Ia membataskannya kepada berguru secara berhadapan sahaja (face to face). Syaitan mengetahui bahawa dengan pembatasan ini, ramai umat Islam tidak akan dapat menuntut ilmu. Ini kerana masing-masing sibuk dengan kuliah, kerja dan keluarga sehingga sukar untuk duduk berhadapan dengan guru kecuali untuk beberapa ketika. Selain itu sukar pula untuk mencari guru yang berilmu, amanah dan jujur untuk berguru secara face to face dengannya. Maka setelah melakukan pembatasan tersebut, syaitan menakutkan orang ramai bahawa jika mereka menuntut ilmu tanpa guru, yakni tanpa face to face dengan seorang guru, maka orang itu sedang menuntut ilmu dengannya.
Bisikan syaitan ini dapat dilawan dengan penjelasan bahawa sesiapa yang menuntut ilmu dengan apa jua cara, asalkan ikhlas demi memperbaiki agamanya, maka yang akan menjadi gurunya bukan syaitan tetapi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah berjanji di dalam al-Qur'an:
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami,sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. [al-Ankabut 29:69]
Bisikan Kedua:
"Anda perlu menguasai bahasa arab terlebih dahulu. Tidak boleh belajar agama tanpa bahasa arab."
Melalui bisikan ini syaitan sekali lagi dapat menakutkan orang ramai dari menuntut ilmu agama. Melalui bisikan ini ramai yang menggunakan masa dan tenaga yang dia miliki untuk belajar bahasa Arab. Bertahun-tahun belajar tetapi yang diketahui hanya sekadar "Aina anta?" Sebenarnya pada masa kini, penguasaan bahasa Arab tidak perlu menjadi prioriti untuk menuntut ilmu agama. Ini kerana sudah terdapat banyak buku-buku bahasa Arab yang sudah diterjemah ke bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris. Selain itu terdapat juga buku-buku dalam bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris yang dikarang oleh penulis yang menguasai bahasa Arab dengan baik. Buku ini mewakili pelbagai subjek seperti aqidah, tafsir, hadis, fiqh, akhlak dan lain-lain. Semua ini memudahkan kita menuntut ilmu agama tanpa perlu menguasai bahasa Arab.
Dalam konteks ini, orang-orang yang ingin menuntut ilmu agama boleh dibahagikan kepada dua kumpulan:
- Mereka yang memberi tumpuan kepada mempelajari bahasa Arab. Kumpulan ini lazimnya mengambil masa beberapa tahun belajar bahasa Arab dengan hajat ingin dapat membaca kitab-kitab klasik seperti Tafsir al-Qurtubi dan Syarh Shahih Muslim bi al-Nawawi. Setelah beberapa tahun, segelintir di antara mereka ada yang berjaya. Namun kebanyakan yang lain gagal. Dalam masa beberapa tahun tersebut, mereka masih jahil tentang agama dan jahil juga tentang bahasa Arab. Akhirnya mereka kecewa dan putus asa dari ingin menuntut ilmu agama.
- Mereka yang memberi tumpuan kepada mempelajari ilmu-ilmu agama dari sumber bahasa yang mereka fahami. Dalam masa beberapa tahun, kumpulan ini sudah menguasai aqidah yang tulen, fiqh perbandingan antara empat mazhab dan akhlak yang selari dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Mereka juga menguasai ilmu tafsir, hadis, fiqh dan lain-lain. Setelah itu mereka mula memberi tumpuan kepada mempelajari bahasa Arab.
Ini kerana pada tahap awal proses menuntut ilmu, bahasa Arab tidak penting. Akan tetapi pada tahap seterusnya,bahasa Arab menjadi penting untuk mereka melanjutkan kajian kepada sumber-sumber yang belum diterjemahkan.Bahasa Arab juga menjadi penting dalam rangka menjawab orang-orang yang kononnya ahli dalam bahasa Arab tetapi sengaja mengubah terjemahan ayat al-Qur'an, hadis atau perkataan ulama' silam dalam kuliah atau tulisan mereka demi membenarkan pandangan mereka yang menyesatkan.
Oleh kerana kumpulan ini sudah memiliki penguasaan dalam sesuatu subjek, mudah untuk mereka menelaah subjek tersebut dari sebuah kitab berbahasa Arab. Sebagai contoh, sebuah kitab fiqh klasik dalam bahasa Arab akan mudah ditelaah oleh orang yang mahir dalam subjek fiqh sekali pun dia belum mahir dalam bahasa Arab. Berbeza dengan orang yang mahir dalam bahasa Arab tetapi lemah dalam subjek fiqh, dia akan mengalami kesukaran untuk menelaahnya.
Ringkasnya, menguasai bahasa Arab tidak menjanjikan penguasaan dalam ilmu-ilmu agama, apatah lagi penghayatannya. Syaitan telah berjaya menakut-nakutkan umat Islam dari menuntut ilmu-ilmu agama dengan meletakkan syarat penguasaan bahasa Arab terlebih dahulu. Lawanlah tipu daya syaitan ini dengan menuntut ilmu-ilmu agama dalam apa jua bahasa. Prioriti anda ialah aqidah dan asas-asas agama seperti ilmu berkenaan al-Qur'an dan al-Sunnah. Seterusnya ia diikuti dengan ibadah dan akhlak. Kemudian apabila anda memiliki masa dan tenaga yang lebih,berilah tumpuan kepada bahasa Arab.
Bisikan Ketiga:
"Saya takut hendak membaca dari sumber terjemahan kerana mungkin terdapat kesilapan terjemahan."
Tidak ada buku yang sempurna dari kesilapan melainkan al-Qur'an. Selain al-Qur'an, kemungkinan wujudnya kesilapan memang ada. Demikian juga bagi buku-buku yang diterjemah dari bahasa Arab ke bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris. Kemungkinan kesilapan memang ada. Akan tetapi kemungkinan tersebut amatlah kecil. Berdasarkan pengalaman saya membaca kitab terjemahan dan membandingkannya dengan kitab asal berbahasa Arab, berani saya katakan bahawa kemungkinan tersebut hanya sekadar 2 hingga 3 peratus. Hanya syaitan yang membesarbesarkannya kepada 20 hingga 30 peratus.
Lebih dari itu, kesilapan yang berlaku di sisi penterjemah boleh juga berlaku di sisi penterjemah yang lain. Jika anda menguasai bahasa Arab, anda juga akan membuat kesilapan ketika membaca sesebuah kitab, khasnya kitab klasik yang ditulis pada zaman awal dan pertengahan Islam.
Oleh itu lawanlah bisikan syaitan ini dengan cara menelaah sesebuah buku terjemahan dengan teliti. Jika menemui sebuah kenyataan yang memusykilkan, bertanyalah kepada orang yang mahir dalam subjek tersebut. Insya-Allah dia akan dapat menerangkan sama ada itu satu kesilapan terjemahan atau kemusykilan yang sebenarnya satu kebenaran.
Demikian tiga contoh bisikan syaitan yang masyhur dalam rangka menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu agama.Sungguh, apabila iblis berjanji di hadapan Allah: "Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga Hari Kiamat, tentulah aku akan menyesatkan zuriat keturunannya (manusia), kecuali sedikit (di antaranya)." [al-Isra' 17:62], ia tidak sangka bahawa amatlah mudah untuk melaksanakan janjinya itu. Buktinya dapat dilihat pada masa kini dimana majority dari umat Islam amat takut untuk belajar berkenaan agama mereka. Sekali pun sebahagian dari mereka memiliki kelulusan pendidikan yang amat tinggi, mereka amat takut untuk belajar tentang Islam. Mereka mencukupkan diri dengan apa yang dipelajari di bangku sekolah.
Apabila umat Islam tetap berada dalam keadaan jahil, mudah bagi syaitan untuk mencapai objektifnya menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan umat Islam penghuni neraka. Atas tipu daya syaitan ini, kita akan temui kebanyakan orang yang memiliki penghayatan agama melaksanakan penghayatan tersebut hanya dengan mengikuti orang-orang sebelum mereka atau kumpulan tertentu. Amat sedikit yang menghayati agama berdasarkan kefahaman yang jitu berkenaan al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih serta teladan generasi al-Salaf al-Shalih.
Bahkan tanpa ilmu agama yang sahih, iaitu ilmu yang berdasarkan al-Qur'an dan al-Sunnah, mudah untuk syaitan mencapai objektifnya itu dengan melakukan tipu daya memperindahkan sesuatu yang sebenarnya mungkar. Tipu helah ini akan kita kaji seterusnya insya-Allah.
Maka kepada para pembaca sekalian, jika terlintas di hati anda perasaan takut untuk menuntut ilmu, ketahui bahawa itu adalah lintasan dari syaitan. Ucaplah "A'uzubillahi minas syaitan nirrajim" dan terus memberanikan diri anda untuk menuntut ilmu.
Wallahua'lam.
____________________________________________________________
Muhammad Fakhruddin Ismail
Oleh
Muhammad Fakhruddin Ismail
Politik islam adalah satu-satunya sistem yang dapat menyelesaikan segala pemasalahan rakyat.Umat terdahulu telah mengecapi kesenangan dan kenikmatan dengan adanya sistem politik islam. Tetapi kini sudah berubah dimana sistem yang berteraskan dari pemikiran manusia yang dinamakan demokrasi yang asalnya suci telah berubah kepada kucar-kacir sehingga tidak jelas tentang kedudukan politik sekarang.
Penulis pernah berbincang dengan seorang sahabat tentang perkara tersebut dan dalam masalah ini penulis masih keliru tentang sistem demokrasi sekarang ini. Ada yang mengatakan demokrasi ini dibolehkan kerana tiada dalil yang mengharamkannya.
Katanya lagi jika tidak sertai pilihanraya maka orang bukan islam akan mengambil alih kepimpinan Negara. Mengenai parlimen jika dilihat dalam satu kaedah islam apabila bertembung dua mudarat dalam satu waktu yang sama, maka hendaklah dielakkan mudarat yang lebih besar. Selain itu ia dapat menghilangkan lagi kezaliman sesuai kemampuannya, dan lebih baik baginya sertai dan lebih banyak maslahatnya bagi kaum muslimin, daripada jabatan tersebut diisi orang lain yang akhirnya bertambah berleluasa lagi kezaliman tersebut . Ia tidak lari juga seperti kisah Yusuf tentang kewajiban memiliki pengetahuan politik dan cara pemerintahan dengan menghasilkan mashlahat yang dicari dan pelbagai lagi perbincangan tentang sistem demokrasi tersebut.
Ada juga yang mengatakan jika hendak dikatakan golongan bukan islam akan mengambil alih jika tidak sertai pilihanraya tetapi mengapa kita boleh begitu pasti sekiranya tidak ikut sertai didalam pilihanraya akan menyebabkan golongan bukan islam akan semakin berkuasa, sedangkan kita belum pernah lagi melaksanakan pemboikotan pilihanraya ini. Cuba boikot dulu dan lihat hasilnya. Jika dilihat dengan adanya pilihanraya ini suara mereka di parlimen makin bertambah lantang lagi. Apakah ini umat islam kehendaki?
Malah jika hendak dikatakan waqi' Malaysia pada hari ini, maka demokrasi dan pilihanraya merupakan satu-satunya sahaja jalan terbaik bagi menguasai pemerintahan tetapi mengapa perlukan sistem bukan islam tersebut? Adakah tidak ada jalan lain yang lebih releven yang mampu diketengahkan sehingga ada disamakan demokrasi dengan sistem syura? Padahal Syura itu ahlinya adalah dari kalangan Ahlul Halli Wal 'aqdi iaitu orang yang cemerlang pemikirannya dan berilmu dalam urusan agama dan selainnya.
Katanya lagi didalam Islam diajar cara makan, berjual beli, berperang,dan didalam Islam diajar segala-galanya. Tetapi kenapa perlu demokrasi diketengahkan untuk meraih kekuasaan ?
Jika dilihat demokrasi adalah sistem yang berprinsip pada kebebasan berpendapat walau apapun bentuk pendapat dan tindakannya, meskipun mencaci maki Allah dan Rasul-Nya serta merosakkan agama. Boleh dilihat pada parlimen demokrasi sekarang ahli-ahlinya berbeza-beza, didalamnya ada ahli-ahli skandal seks, penyangak, ada perasuah, ada perempuan jahiliah ada yang menolak Islam terang-terangan, ada yang liberal dan lain-lain lagi bahkan ianya dihalalkan dan dibenarkan didalam parlimen.Adakah itu demokrasi yang dikehendaki dalam islam?
Jika itu adalah alat untuk mendapatkan kekuasaan untuk menggantikannya dengan pemerintahan Islam tetapi jika lihat diparlimen tidak ada pun kertas undi untuk "Calon Perdana Menteri" yang perlu dipangkah, yang ada cuma "Calon Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)" dan "Calon Ahli Parlimen". Jadi apakah benar tujuannya menggantikan pemerintahan atau hanya untuk mendaulatkan lagi si pembuat hukum undang-undang manusia sendiri?
Seolah-olah ini bererti bahawa yang dipertuhan, yang disembah dan yang ditaati didalam hal perundangan adalah manusia, bukan Allah.Ini adalah tindakan yang menyimpang. Allah berfirman:
"Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia Telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Yusuf:40)
Demokrasi bererti mengembalikan segala bentuk perselisihan, antara hakim dan yang dihukumi kepada rakyat, tidak kepada Allah dan rasul-Nya. Ini adalah penyelewengan dari firman Allah:
Tentang sesuatu apapun kamu berselisih, maka putusannya (terserah) kepada Allah.(asy-Syura:10)
Bagi penulis memang lebih setuju sepenuhnya kembali sahaja pada sistem asal islam kerana ia lebih selamat dan sejahtera berbanding demokrasi sekarang ini seperti tidak nampak hasilnya malah kucar kacir. Tapi jika hendak boikot pun perlulah dilihat dan dianalisis secara terperinci supaya tidak bertambah mudarat lagi dan sepatutnya tidak perlulah tergesa-gesa menjatuhkan sesuatu hukum itu tanpa memahami realiti, pemerhatian yang mendalam dan keadaan semasa.Jika tidak kita akan jadikan umat islam lemah dan penakut. Justeru perlulah dicari punca sebab-musababnya agar umat islam dapat keluar dari kekongan masalah ini.
Malah jika dilihat realiti keadaan umat islam kini lemah maka sewajarnya perlu mencari formula bukan mengatakan demokrasi ini haram sedangkan kita ketahui ada kaedah-kaedah yang boleh dipakai untuk menetapkan sesuatu hukum tersebut seperti:
Perkara tidak sempurna perkara wajib melainkan dengannya maka perkara itu menjadi wajib
Jadi jika dilihat dari kondisi seperti inilah maka sistem demokrasi kemungkinan ada benarnya. Ini hanya pandangan penulis sahaja.
Wallahua'lam.
____________________________________________________________
Muhammad Fakhruddin Ismail
Oleh
Muhammad Fakhruddin Ismail
Tidak salah jika dikatakan ramai dikalangan muslimin samaada penulis atau siapa-siapa sahaja begitu berat untuk memberi salam kepada saudaranya terutama sekali seakidah dengan kita seolah-olah mulutnya terkunci dan pandangan menjadi berat untuk mengucapkannya dan memberikan senyuman.
Padahal islam telah mengajar kita untuk memberi salam kepada muslim kerana ia akan menyemaikan rasa cinta dan mengeratkan lagi silaturrahim. Dalam hadis sahih muslim daripada Abu Hurairah ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman, dan kalian tidak beriman sampai kalian sehingga kalian saling mengasihi dan mencintai, apakah kalian mahu aku tunjukkan kepada sebuah amalan yang apabila kalian amalkan, kalian akan saling mengasihi dan mencintai?, terbarkanlah salam diantara kamu".
Bukan itu sahaja malah jika dilihat masyarakat islam kini hanya memberi salam kepada golongan yang dikenali sahaja. Kondisi seperti inilah dapat kita saksikan pada masa sekarang ini malah jelas ia bertentangan dengan sunnah, kerana Rasulullah SAW menganjurkan menyebarkan salam kepada orang yang dikenali mahupun yang tidak dikenali. Itu adalah diantara tanda-tanda dekatnya hari kiamat dimana adanya orang-orang yang hanya mahu mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja.Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat pengucapan salam itu hanya untuk orang-orang tertentu sahaja [iaitu yang dikenali]". (Musnad Ahmad 5:333. Al-Albani berkata : Ini adalah isnad yang shahih menurut syarat Muslim :Silsilatul Ahaditsish Shahih 2:251. hadits nombor 647 )
Lebih buruk lagi apabila apabila ada non-muslim memberi salam maka dijawabnya dengan ucapan yang buruk. Padahal apabila non-muslim (kafir zimmi) memberi salam sepatutnya menjawab salam tersebut seperti mana kita menjawab salam dengan muslim itu sendiri. Allah berfirman:
Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungankan segala sesuatu. (An Nisaa' :86)
Perkara sebeginilah yang diajar Rasulullah SAW kepada para sahabat. Tapi sebaliknya yang berlaku. Masyarakat islam kini tidak mencerminkan akhlak tentang islam itu sendiri pada non-muslim sehingga mereka menganggap islam itu tidak sedemikian rupa.
Telah diriwayatkan bahawa seorang Majusi telah mengucapkan kepada Ibn Abbas: "Assalamu'alaikum"
Ibn Abbas berkata:"Wa'alaikumussalam warahmatullah".
Lalu sebahagian sahabat-sahabatnya berkata:
"Adakah awak berkata warahmatullah (dan rahmat Allah)?" Dia menjawab: "Tidakkah dengan rahmat Allah dia hidup." (Fiqh Minoriti Muslim oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi " Mengucapkan Tahniah Kepada Ahli Kitab Terhadap Kebesaran Mereka"- m/s 447)
Jika dilihat perkara seperti ini telah dilakukan oleh sahabat seperti Ibn Abbas sendiri maka mengapa kita tidak mencontohinya sahaja. Bukankah sahabat itu sebaik-baik generasi? Hal ini jelas seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Sebaik-baik manusia adalah generasiku kemudian generasi yang datang setelah mereka, kemudian generasi lain yang datang setelah mereka." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Malah naib presiden majlis penyelidikan dan fatwa Eropah Syeikh Faisal Mawlawi di dalam laman webnya menyebut bukti-bukti yang lebih jelas bahawa memberi dan menjawab salam kepada orang bukan islam itu adalah dibenarkan.Jika dilihat dari konteks dakwah ia dapat mendekatkan mereka kepada islam dan menanam rasa kasih sayang kepada umat islam. Jadi pendekatan seperti inilah yang sepatutnya umat islam lakukan bukannya dengan menjawab dengan ucapan yang buruk.
Di antara petunjuk Rasulullah SAW adalah memulai ucapan salam kepada siapa saja yang beliau temui, ia berbeza dengan orang yang sombong seolah-olah mereka mahu dihormati dengan menunggu panghormatan salam daripada orang tersebut. Namun Rasulullah SAW menegaskan bahawa yang memberi salam adalah yang paling utama daripada yang menjawabnya. Rasulullah SAW bersabda:
"Orang yang lebih dekat kepada Allah s.w.t. adalah yang lebih dahulu memberi Salam." (Musnad Ahmad, Abu Daud, dan At Tirmidzi)
Maka sewajarnya kita yang mengakui sebagai seorang muslim dan mengaku Rasulullah SAW sebagai contoh dan ikutan kita hendaklah tidak mengabaikan tuntutan beliau agar sunnah Rasulullah SAW ini kembali diamalkan oleh umat islam dan dapat menonjolkan kembali imej islam itu sendiri kepada masyarakat bukan islam.
Muhammad Fakhruddin Ismail
Oleh
Muhammad Fakhruddin Ismail
Penulis teringat kembali sejarah sekolah dahulu dan perkara ini pun pernah berlaku pada penulis sendiri.Itulah zaman sekolah dahulu yang hanya nak tahu berseronok-seronok sahaja. Selalunya apabila menjelang sahaja 1hb April kebanyakannya pelajar-pelajar samada sekolah rendah atau menengah terpaksa berhati-hati dengan teman masing-masing kerana pastinya akan berlaku penipuan terhadap mereka.
Ini seolah-olah sudah menjadi budaya bagi pelajar-pelajar. Bila terperangkap sahaja, ejekan 'April Fools' akan diberikan kepada mangsa. Selalunya perkataan ini membuatkan mangsa-mangsa merasa malu kerana diperolok-olok seperti ini hingga pelajar yang lainnya turut ketawa kerana dimainkan sebegitu.
Mungkin ada yang berkata itu hanya sekadar gurauan sahaja. Memang islam ada seketikanya gurau senda itu dibenarkan kerana islam mengakui fitrah dan instink manusia sebagai makhluk yang diciptakan Allah, dimana manusia suka bergembira, ketawa, bermain-main dan pelbagai lagi tetapi adakah bergurau dengan memalukan rakan sendiri sehingga merah padam mukanya diketawakan oleh rakan-rakan lain dibenarkan didalam islam?
Dua tiga hari yang lalu penulis ada menulis tentang sikap umat kita yang suka meniru-niru ( musyabbahah) budaya barat. Sikap ini apabila dipupuk dan ditanamkan didalam hati kita maka ia akan menimbulkan perasaan mahabbah (cinta) kepada budaya dan amalan tersebut malah ada yang bertentangan dengan prinsip islam itu sendiri.
Penulis pernah mendengar samada cerita ini benar atau tidak tapi ia boleh membawa satu kesan buruk dengan hanya perkataan 'April Fools' sahaja boleh membawa kepada penyesalan dimana seorang suami yang jahil tentang agama, telah mengucapkan, "Aku ceraikan kau" pada isterinya dengan niat untuk bergurau sahaja. Isterinya terus tercengang kemudian si suami dengan muka selamba sahaja mengucapkan 'April Fool !!'. Memang foollah sangat. Setelah itu, giliran si suami yang kena fool , lalu terkejut diberitahu bahawa talak yang dilafazkan tersebut telah jatuh.
Sepatutnya umat islam dan remaja kini perlu ada sikap jujur dan menjahui daripada sikap suka menipu dan ejekan pada rakan sendiri . Allah berfirman yang bermaksud:
Lalu kamu menjadikan mereka buah ejekan, sehingga (kesibukan) kamu mengejek mereka, menjadikan kamu lupa mengingat Aku, dan adalah kamu selalu mentertawakan mereka, (Al Mu'minuun: 110)
Secara tidak langsung kita juga telah mengikuti budaya barat malah bercanggah dengan prinsip islam .Hal ini juga telah digambarkan oleh Nabi SAW sendiri.
Nabi SAW pernah bersabda:
"Sesungguhnya kamu akan ikut cara umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, hatta jika mereka masuk lubang biawak pun nescaya kamu akan mengikutinya." Sahabat bertanya: Golongan Yahudi dan Nasranikah(yang kamu maksudkan)? Baginda menjawab: (Kalau tidak mereka) Siapa lagi?" (Riwayat Al-Bukari dan Muslim).
Selalunya apabila bermulanya musim 'April fool' ramailah yang ingin tahu dimana asal usulnya. Penulis sendiri tidak pasti adakah benar cerita tersebut dan jika dilihat pun kesahihannya masih diragui dimana golongan Kristian menyerang kaum muslim di Sepanyol dan membunuh kesemuanya. Peristiwa ini kemudiannya diraikan oleh tentera Kristian sendiri.
Wallahua'lam.
____________________________________________________________
Muhammad Fakhruddin Ismail
Oleh
Muhammad Fakhruddin Ismail
Pada asasnya, Islam tidak pernah menolak sebarang bentuk aktiviti sukan malah Islam sangat menggalakkan umatnya bersukan sebagai suatu aktiviti riadah yang menyihatkan. Rasulullah s.a.w turut menganjurkan umatnya menyertai aktiviti sukan sebagai suatu aktiviti senaman yang paling mujarab.
Malah Rasulullah s.a.w sendiri pernah berlumba lari dengan isterinya Aisyah. Aisyah mengatakan:
"Rasulullah bertanding dengan saya dan saya menang. Kemudian saya berhenti, sehingga ketika badan saya menjadi gemuk, Rasulullah bertanding lagi dengan saya dan ia menang, kemudian ia bersabda: Kemenangan ini untuk kemenangan itu." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud) iaitu seri.
Dalam sukan, islam telah menggariskan panduan dan memperkeras persoalan menutup aurat. Justeru, perkaitan di antara sukan dan penglibatan kaum wanita turut dibatasi dengan tata cara dan tertib yang telah digarispanduankan oleh Islam bertujuan sebagai suatu penetapan bagi mencipta garis keseimbangan di antara hal wanita Islam di dalam sukan dan kepentingan dalam memelihara maruah dan kedudukannya sebagai seorang Muslim.
Fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Kesatuan Eropah menerusi Timbalan Pengerusinya, Sheikh Faysal Mawlawi menegaskan bahawa:
"Perkara asas yang perlu dititikberatkan oleh seorang wanita Islam mengenai penyertaannya di dalam aktiviti sukan adalah menjaga auratnya. Aurat bagi seorang wanita Islam ialah keseluruhan anggota badan kecuali muka dan telapak tangannya.
Manakala aurat bagi seorang lelaki Islam pula ialah dari pusat hingga ke lutut. Justeru, selagi syarat dan peraturan penutupan aurat ini tidak dilanggar, maka, tidaklah menjadi suatu kesalahan atau halangan bagi wanita mahupun lelaki melibatkan diri mereka di dalam aktiviti sukan."
Jika hendak dikatakan pakaian memainkan peranan untuk meningkatkan prestasi peserta perkara itu memang benar. Tetapi setakat mana prestasi itu meningkat?
Kita lihat sendiri pelari pecut wanita Bahrain, Ruqaya Al Ghasara mengejut dan mengagumkan peminat olahraga di Sukan Asia di sini apabila meraih pingat emas dalam acara 200 meter walaupun berpakaian menutup aurat dan bertudung.
"Malah katanya, dengan mengenakan pakaian lengkap wanita Islam itu telah mendorongnya berlari lebih pantas."Ia bukan satu halangan untuk saya berlari pantas malah ia banyak mendorong saya membuktikan bahawa wanita Muslim seperti saya juga boleh menang dengan berpakaian seperti ini," katanya.
"Pada perlumbaan akhir itu, Ruqaya mencatat masa 23.19s. Sebelum ini beliau turut menang gangsa dalam acara 100m. Ketika melakukan pecutan, hanya jelas muka dan tapak tangannya yang kelihatan manakala sebahagian besar anggota tubuhnya ditutupi kemas. Sebaik melepasi garisan penamat, Ruqaya mengangkat tangan kepuasan tetapi aurat dan tingkah lakunya tetap dipelihara. Mengulas pakaian yang digunakannya, Ruqaya berkata, ia menggunakan jenis kain yang dipilihnya sendiri walaupun kebiasaannya agak berat untuk dibawa berlari.Sambil mengakui pelari pecut Amerika Syarikat, Marion Jones sebagai idolanya, Ruqaya berharap pakaian yang digunakannya untuk berlari itu mendorong wanita Muslim lain melibatkan diri dalam sukan agresif seperti ini. Penampilan hebat Ruqaya itu turut menjadi agenda utama Doha mengadakan ujian pakaian bagi wanita Muslim untuk melobi menjadi tuan rumah Olimpik 2016 nanti. "Memakai tudung membuktikan ia bukan halangan untuk mencipta kejayaan. Berpakaian seperti ini jugalah yang telah melayakkan saya beraksi di kejohanan dunia di Osaka, Jepun tahun depan," tegasnya.
Jika kita lihat 15-20 tahun tahun dahulu, pemain tennis wanita kesemuanya memakai pakaian penuh. Pada hari ini juga, wanita di Iran memakai pakaian yang menutupi badan dan tudung ketika bermain tennis. Jika mereka boleh mengapa anda tidak boleh?
Bagaimana pula dengan sukan renang? Dalam masalah ini Dr Zakir Naik pernah mengatakan:
"Kita juga perlulah bersetuju bahawa di dalam sukan renang semakin sedikit pakaian yang dipakai, semakin meningkat prestasi peserta. Kerana itulah mereka menetapkan peserta lelaki untuk memakai seluar dalam dan perempuan untuk memakai bikini.
Tetapi kita juga mesti faham dan bersetuju, bahawa para peserta hanya dapat menunjukkan prestasi maksimum jika mereka tidak memakai apa-apa pakaian ketika berenang. Tetapi adakah kamu akan menetapkan perenang wanita untuk berenang dalam keadaan berbogel?
Mengapa perlu ada double standard? Jika kamu katakan perkara tersebut sangat tidak sopan. " Maka saya katakan bahawa tahap kesopanan kamu serendah ini dan tahap kesopanan kami setinggi ini. Apa yang sopan bagi kamu tidak sopan bagi kami. Maka mengapa kamu tidak cadangkan supaya para perenang berenang dalam keadaan berbogel sahaja supaya prestasinya meningkat? Tetapi tidak, kerana mereka mempunyai tahap kesopanan tertentu."
Oleh itu aktiviti sukan dan riadah ini tidak seharusnya menjadi faktor penyebab bagi wanita khasnya dan lelaki khususnya lalai daripada memenuhi tuntutan agama dan kewajipan dunia. Individu dan masyarakat Muslim tidak kira lelaki mahupun wanita dituntut supaya mengimbangi di antara kehendak dirinya dan kewajipan yang dituntut agama.
____________________________________________________________________
Rujukan:
- Media dan Islam " Berperang atau Berdamai? " oleh Dr Zakir Naik
Muhammad Fakhruddin Ismail