Awas!!! Jagalah Lisanmu

Lisan adalah termasuk bahagian dari kenikmatan yang diberikan Allah s.w.t kepada hamba-Nya. Dengan lisan, kita dapat mengungkapkan sesuatu dan perasan kita. Tetapi kita tidak sedari lisan juga boleh membawa kepada kemungkaran Allah Subhanahu wa Ta’ala. Lisan juga dapat membawa kita ke tingkat tertinggi apabila lisan itu digunakan untuk kebaikan dan perkara yang diredhai Allah Subhanahu wa Ta’ala. Namun lisan juga dapat menjerumuskan ke tingkat yang paling rendah, iaitu apabila lisan digunakan untuk perkara yang tidak diredhai Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Seorang mukmin senantiasa diperintahkan untuk menjaga lisannya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (yaitu) orang-orang yang khusyuk dalam shalatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna.” (QS. Al-Mukminun: 1-3)

Alimos_interior_detailed_by_voodoq

Rasulullah SAW pernah bersabda :ketika ada salah seorang sahabat Mu’adz bin Jabal radhiyallahu’anhu bertanya tentang amalan yang memasukkan ke dalam syurga dan menjauhkan dari neraka .Beliau jawab “ Beribadahlah hanya pada Allah dan jangan menyekutukanNya, tegakkan solat, tunaikan zakat, berpuasa Ramadhan, dan berhaji ke Baitullah.” Selanjutnya beliau menunjukkan pintu-pintu kebaikan ,sabda beliau “Puasa adalah perisai, sedekah menghapus kesalahan seperti air memadamkan api, dan solatnya seseorang di akhir malam”. Lanjut beliau “Pokok urusan ialah Islam, tiangnya adalah solat, dan mahkotanya adalah jihad.” Kemudian beliau bertanya pada Muadz, “Mahukah kutunjukkan kunci dari semua itu?” Jawab Muadz “Ya.” Maka beliau shallallahu’alaihi wa sallam memegang lidahnya lalu bersabda “Jagalah ini!” Muadz pun bertanya “Apakah kami akan diazab gara-gara ucapan kami?” Maka beliau bersabda “Celaka kau! Bukankah tidak ada yang menelungkupkan wajah manusia kedalam neraka atau hidung-hidung mereka melainkan kerana buah ucapan mereka!!!” (Hadits riwayat At-Tirmidzi, hasan shahih).

Alangkah besarnya bahaya lidah ini sedang kita banyak lalai dari menjaganya. Bagaimana pendapatmu jika seseorang diberi pena dan kertas lalu dia gunakan untuk mencaci dan menghina orang yang memberikan pena dan kertas tadi? Pasti itu tidak beradab ditinjau dari adab bangsa manapun... Bagaimana pendapatmu jika seseorang diberi lisan oleh Dzat yang di atas langit, yang Maha Pengasih dan Penyayang lalu ia gunakan untuk bermaksiat kepadaNya?

Lebih mendukacitakan ada sebahagian dari golongan agama dan parti politik mengungkapkan sesuatu yang tidak patut diungkapkan iaitu kafir-mengkafirkan sesama umat islam. Mereka sanggup mengkafirkan sesiapa saja dalam perkara yang bertentangan dengan pendapat mereka. Malah ada sebahagiannya menganggap pemerintah yang tidak melakukan hukum hudud adalah kafir.

Ibn Abi al-`Izz menyebut dalam Syarh al-`Aqidah at-Tahawiyyah, maksudnya:

"Sekiranya seseorang pemerintah beriktikad bahawa berhukum dengan apa yang diturunkan Allah itu tidak wajib dan dia diberikan pilihan mengenai (samada ingin berhukum dengan syariat Allah atau tidak) atau dia merendahkan-rendahkannya sedangkan dia yakin bahawa itu adalah hukum Allah, maka ini adalah kufur yang terbesar. Sekiranya dia beriktikad wajibnya berhukum dengan apa yang diturunkan Allah dan dia mengetahui perkara tersebut tetapi dia berpaling daripadanya (hukum Allah) sedangkan dia mengakui perbuatannya itu layak menerima hukuman, maka ini (pemerintah tersebut) adalah `asi (ahli maksiat)" dinamakan kafir kufur majazi (kiasan) atau kufr asghar (kufur kecil yang tidak terkeluar dari agama). Sekiranya dia jahil mengenai hukum Allah dalam perkara tersebut sedangkan dia telah berusaha bersungguh-sungguh serta mencurah segala kemampuan dalam mengenali hukum (agar menepati hukum Allah) namun dia tetap tersilap maka ini adalah orang yang tersilap. Baginya pahala kesungguhan dan kesilapannya diampunkan." (rujukan: Syarh al-`Aqidah at-Tahawiyyah , m.s. 324, ctk. Al-Maktab al-Islami, Beirut.)

As-Syeikh Yusuf al-Qaradawi menyebut perkara ini dengan katanya: “Suatu perkara yang mesti diberi perhatian iaitu apa yang telah diputuskan oleh para `ulama muhaqqiqun mengenai wajibnya dibezakan antara peribadi dan jenis dalam isu takfir (mengkafirkan). Ini bermaksud, contohnya kita katakan “Golongan komunis itu kafir, atau para pemerintah sekular yang menolak hukum syarak itu kafir, atau sesiapa yang menyatakan sebegini atau menyeru kepada ini maka dia kafir. Ini semua adalah hukum pada jenis. Adapun apabila perkara ini berkait dengan peribadi seseorang, yang disandar kepada mereka itu dan ini, maka wajiblah diambil masa untuk dibuat kepastian dan kesabitan mengenai hakikat sebenar pendiriannya. Ini dengan cara menyoal atau berbincang dengannya sehingga ditegakkan hujjah, tiada lagi syubhat dan juga tiada lagi keuzuran untuknya. Perkara ini pernah disebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: Sesungguhnya perkataan boleh menyebabkan kufur. Secara umumnya dikafirkan penyucapnya. Dikatakan “Sesiapa yang mengucap begini maka dia kafir”. Tetapi peribadi berkenaan yang mengucapkannya tidak dihukum dengan kafir sehingga ditegakkan hujjah yang menjadi kuffur sesiapa yang meninggalkannya (meninggalkan berpegang dengan hujjah yang jelas-pen),” (rujukan: Zahirah al-Ghuluu fi Takfir , m.s. 26-27, ctk. Maktabah Wahbah, Mesir )

Umat islam tidak sepatutnya tergopoh-gapah dalam mengkafirkan individu tertentu tanpa melalui kaedah yang telah ditentukan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah.Nabi s.a.w telah bersabda “Tidak boleh seseorang menuduh orang lain dengan kefasikan dan tidak pula menuduhnya dengan kekafiran melainkan hal ini akan kembali kepadanya jika orang yang tertuduh tidak sedemikian” [Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, hadis no. 6045].

Ada juga kelompok tertentu suka melabelkan kepada puak tersebut dengan perkataan yang tidak disukai dengan harapan puak tersebut akan dipandang sinis dan serong oleh masyarakat seperti “wahabi,kaum muda dan deoabandi”. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.[Al Hujuraat – 11].

Sebahagian umat Islam hari ini kerap mempermainkan hukum hakam akibat kejahilan mereka.Mereka tidak sedari kesan daripada ucapan mereka .Malah berapa banyak pula yang telah berkata dengan perkataan lucah atau ucapan ghuluw (melampau) seperti “Aku tak boleh hidup tanpa dirimu…” atau perkataan “Kaulah satu-satunya yang kuinginkan di dalam hidupku“, atau “Hanya ada engkau yang ada di hatiku?” atau “Aku ingin selamanya bersama denganmu..”? Seolah-olah ucapan mereka hanya bergantung kepada manusia untuk hidup bukan Allah s.w.t. Bukankah bagi seorang muslim hanya Allah yang paling dia cintai lebih dari apapun? Ada juga berpandangan apabila terlihat aurat perempuan maka pandangan pertama itu adalah rezeki. Dalam sebuah hadith : "Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w. tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!" (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi) - Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya sebagainya datang dalam hadith Nabi kepada Sayyidina Ali.

Apabila ia adalah sebuah hukum, maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan apa jua berkaitan dengannya. Nabi SAW bersabda :- " Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat" ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)

Malah ada juga pernah kita mendengari orang berkata, “dasar batu sial!” atau “sial kamu!”, namun ketahuilah, bahwa kita dilarang untuk mengucapkan atau melaknat sesuatu tanpa adanya keterangan dari agama bahwa sesuatu tersebut mendatangkan kesialan. Selain itu, kita juga dilarang melaknat,binatang, manusia tertentu, terutama seorang mukmin kerana hal tersebut termasuk dosa besar. Tsabit bin Adh-Dhahhak rahimahullahu Ta’ala berkata bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa melaknat seorang mukmin maka seakan-akan dia membunuhnya.” (HR. Al-Bukhari)

Seorang mukmin hendaklah tidak berkata kecuali perkataan yang baik. Tidak inginkah kita termasuk orang-orang yang disebutkan dalam hadits Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam ini? “Barangsiapa menjamin untukku apa yang ada diantara kedua dagunya (lisan) dan apa yang ada diantara kedua kakinya (kemaluan), maka aku akan menjamin untuknya surga.” (HR. Al-Bukhari). Kerana itu, marilah kita memohon kepada Allah Ta’ala agar melindungi kita dari kesalahan-kesalahan lisan, agar kita tidak terjerumus ke dalam neraka jahanam.

-Allahu a’lam-

Muhammad Fakhruddin Bin Ismail

Bachelor In Accounting (HONS)

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

0 Comments:

Post a Comment