Lihat link tersebut:

[Demonstrasi dan Boikot tasyabbuh golongan kafir]

Perbincangan boleh tak demo dan boikot? Click  dibawah:

[Perbincangan 1]

[Perbincangan 2]

Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitab beliau "Fiqh Awlawiyyat fi Dhaw Al-Quran wa AS-Sunnah" pernah menegaskan kepentingan untuk memahami Maqasid berbanding hanya terikat dan memegang buta kepada nas zohir semata-mata.

Apabila sesuatu perkara tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW ini tidak semestinya menjadikannya sebagai bid’ah, Islam melihat perkara ini kepada maqasid atau maksud sesuatu pelaksanaan itu dibuat.

Ia berbeza dengan ibadat khusus dimana didalam kaedah fiqh ada menyebut “asal sesuatu ibadah hukumnya haram kecuali kalau ada dalil yang memerintahkannya” Tetapi demonstrasi dan boikot adalah tergolong dalam bab muamalat kerana ia melibatkan urusan manusia dengan manusia BUKAN menghubungkan manusia dengan Allah seperti zikir, solat dan pelbagai lagi iaitu merangkumi ibadah khusus manakala perkara muamalat  diberikan kelonggaran di dalam Islam di mana  penentuan hukumnya adalah berdasarkan hikmah dan tujuannya.

21_5_2003_Jakarta%20demo%202

Jika kita lihat tujuan diadakan demonstrasi adalah seperti berikut:

-Menyerlahkan pengaruh dan kuasa
-Menyedarkan tentang kezaliman dan penindasan
-Menyatakan pandangan secara terbuka
-Memperkasakan kecenderungan kelompok
-Mempamerkan kekuatan kelompok
-Menyampaikan hasrat
-Mempertahankan hak

Manakala boikot yang dilakukan keatas produk yahudi dan Amerika adalah bertujuan untuk melemahkan ekonomi Zionist dan sekutu-sekutunya serta pada dalam masa yang sama mengukuhkan ekonomi negara Arab dan orang Islam bagi menjadikan mereka berdikari didalam ekonomi mereka.

Jika kita lihat tujuan ia dilakukan adalah baik dan tidak bercanggah dengan islam jika ia ia bebas dari perkara2 yg dilarang oleh syarak. Malah pemboikotan juga memberi kesan ekonomi yang buruk kepada negara mereka dan jika berjaya ia kemungkinan dapat membantut hasrat mereka untuk meneruskan kejahatan dan serangan terhadap islam.

Sebagai contohnya dalam bulan Oktober 2002, McDonald’s menutup operasi mereka di Asia Tengah kerana kerugian akibat kesan secara langsung
daripada usaha boikot. Di Jordan, 2 daripada 6 francais McDonald’s terpaksa ditutup kerana tidak mendapat sambutan. Sekiranya syarikat gergasi seperti McDonald’s boleh menerima kesan dan tekanan akibat boikot, sudah tentu syarikat-syarikat yang lebih kecil, yang menyokong Israel , akan membuka mata dan berhati-hati dengan usaha boikot ini.

Sebagai contoh lain Coca-Cola yang sekian lama mendominasi pasaran Asia Tengah telah mengalami kemerosotan jualan sehingga 60% akibat boikot. Kemerosotan ini telah membuka peluang kepada produk alternatif milik perniagaan Muslim dari Iran ZamZam Cola. ZamZam Cola sehinggakan tidak dapat menampung permintaan bagi memenuhi kekosongan pasaran Coca-Cola.
Malahan, mereka berjaya menjual sebayak 4milion tin minuman dalam minggu pertama, suatu yang tidak sekali-kali dijangka dan sekarang ZamZam Cola meluaskan perniagaan dengan membuka kilang-kilang di negara Teluk, sekaligus memberi peluang pekerjaan yang jauh lebih menyeluruh kepada masyarakat. Dan buat pertama kalinya sebuah negara dari Eropah, iaitu Denmark , mula mengimpot
ZamZam Cola. [Artikel penuh lihat
link tersebut]

Jika kita lihat boikot adalah salah satu kekuatan umat islam untuk menggerunkan musuh-musuh Allah dan melemahkan ekonomi mereka serta dapat mendesak mereka untuk memberhentikan serangan keatas rakyat palestin. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu mampu dari segala jenis kekuatan dan pasukan-pasukan berkuda yang disiapkan untuk berperang untuk menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan) .[ Surah al-Anfal:60]

Dalam ayat tersebut jelas Allah memerintahkan kaum muslimin agar menyediakan segala jenis apa sahaja kekuatan yang ada supaya dapat menggerunkan musuh dan BOIKOT dan DEMONSTRASI termasuk salah satunya.

Bukan itu sahaja malah boikot juga dapat menzahirkan sifat wala’ dan bara’ sesama saudara umat islam kerana berwala’ (sikap setia) terhadap orang-orang yang berakidah islam dan memusuhi orang-orang yang menentangnya adalah satu cabang iman. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan shalat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.(Surah Al-Maidah :55-56). Dan Allah berfirman:

Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara (Surah Al-Hujurat :10).

Oleh itu sikap wal’ dan bara’ perlu ada pada setiap umat islam kerana ia merupakan satu cabang yang penting dan sikap itu dapat menzahirkan keimanan kita kepada Allah SWT.

Demonstrasi termasuk tasyabbuh golongan kafir?

Masalah berkaitan dengan demonstrasi ada juga beberapa pandangan mengatakan demonstrasi adalah termasuk dalam tasyabbuh golongan kafir malah ada yang menyatakan sama seperti khawarij dan perkara itu tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW.

Penulis tertarik apa yang dikatakan Dr Asri Zainul Abidin dalam artikelnya “ Palestin:Tanggungjawab Persaudaraan Dan Kemanusiaan” bahawa “Islam bersikap adil. Islam tidak pernah menyatakan setiap mereka yang tidak menganut Islam itu adalah musuh Islam. Demonstrasi di seluruh dunia pada hari ini turut dilakukan oleh mereka yang bukan Islam. Islam hanya bermusuh dengan mereka yang melancarkan permusuhan dan kezaliman kepada umat Islam. Samada permusuhan itu atas kebencian kepada agama ini, atau atas sikap yang ingin menzalimi orang lain.

Kemudian, Islam tidak menerima dan membantah kezaliman di mana sahaja ia dilakukan. Samada ke atas muslim atau bukan muslim, samada kepada insan atau binatang dan alam. Kita membantah kekejaman ke atas saudara seakidah kita di Palestin atas nama Islam dan kemanusiaan. Orang lain membantah atas dasar kemanusiaan.

Jika mereka yang bukan Islam dizalimi, kita tetap akan membantah atas dasar Islam dan kemanusiaan. Ini kerana prinsip Islam merangkumi prinsip kemanusiaan sejagat. Namun jika ada yang langsung tidak membantah, maka dia tiada prinsip Islam dan prinsip kemanusiaan.”

Syeikh Salman al-’Audah (Musyrif al-’Am Laman islamtoday.net) menyatakan “Kami melihat tidak mengapa umat Islam berhimpun untuk menyatakan protes mereka terhadap penderitaan saudara mereka di Palestin, dalam bentuk domentrasi itu aman dan jauh daripada menimbulkan gangguan dan menyusahkan penduduk atau merencatkan kerja-kerja mereka. Tidak ada di dalamnya perbuatan mungkar yang diharamkan oleh ALlah semampu mungkin. Ini adalah satu bentuk membantu saudara-saudara kamu, ia dapat memberi impak kepada Yahudi, dan kepada sekutu-sekutunya di setiap tempat. Impaknya juga dapat menyampaikan massage Islam ke masyarakat barat yang akal mereka sentiasa didominasi oleh Yahudi yang menyampaikan massage yang tidak benar kepada mereka. Asal dalam perkara-perkara seumpama ini (demonstrasi) adalah harus, dan tidak memerlukan dalil yang khusus (untuk membenarkannya). Sesungguhnya terdapat di dalam sirah, yang mana umat Islam keluar dengan dua barisan apabila islamnya Hamzah dan Umar, akan tetapi ianya lemah, akan tetapi memadailah tidak ada dalil yang melarang perkara seumpama ini (demostrasi) atau mengharamkannya, sebaliknya (domenstrasi itu) dilarang jika ianya akan membawa kepada kemudharatan, kerosakan dan kefasadan.” [Lihat link tersebut]

Kenapa perlu menyamakan demonstrasi yang dilakukan mengikut prinsip-prinsip islam dengan demonstrasi golongan khawarij? Jika dilihat, kita ketahui cara mereka lakukan memang bertentangan prinsip-prinsip islam berserta dengan tujuannya tetapi demonstrasi yang dilakukan dengan mengikut prinsip islam adalah berbeza dengan demonstrasi puak khawarij tersebut malah kalau nak dikatakan sebagai ibadah , bagaimana mungkin dikatakan sebegitu? Padahal semua orang pun tahu demonstrasi bukan sebuah ibadah malah di Barat sendiripun ia tidak anggap sebagai satu ibadah atau amalan khas.Mereka hanya anggap ia hanyalah sebuah wasilah dalam politik, sama dengan menggunakan internet ,radio atau TV serta keratan akhbar saat berpolitik dan berdakwah.Jangan lupa bahawa islam itu tidak menghapuskan budaya dan adat resam sesuatu bangsa atau negari selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip islam kerana itulah antara faktor yang membawa islam berkembang pantas.

Dalam hadis Abu Daud hadith no. 2353 dan Hakim hadith no. 1698 juz 1 hal. 432 dan disahihkannya bahawa Nabi SAW bersabda:

“Agama akan selalu tegak selama manusia menyegerakan berbuka, kerana orang-orang Yahudi dan Nasrani melewatkannya”

Jika dilihat pada hadis tersebut orang islam, yahudi dan nasrani mereka semua berbuka jadi dari konsep itu sama cuma yang membezakannya hanya dari sudut “menyegerakannya” dan “melewatkannya”.

Daripada hadis tersebut penulis berpendapat demonstrasi boleh termasuk dalam tasyabbuh jika dilakukan seperti golongan-golongan khawarij tersebut tetapi jika kita mengubahnya mengikut prinsip-prinsip islam maka ia tidak termasuk tasyabbuh seperti mana dalam hadis di atas. Mereka berbuka kita pun berbuka TETAPI Nabi SAW mengubahnya caranya supaya tidak sama dengan yahudi dan Nasrani.

Contoh lain seperti ikhtisar dalam solat iaitu meletakkan tangan di atas pinggang kerana sunnah meletak tangan kanan di atas tangan kiri pada waktu solat adalah di atas dada bukan di atas pinggang. Jika tidak ia merupakan perbuatan orang-orang yahudi. Seperti yang dinyatakan A’isyah Radhiallahu ‘anha bahawa dia membenci berikhtishar dalam solat.

Katanya: Jangan menyerupai orang-orang yahudi . Dan katanya “ Sesungguhnya orang-orang Yahudi mengerjakan yang demikian itu. [Sahih Bukhari, Fathul Bari hadith no.3458]

Jika dilihat hadis itu orang Yahudi solat berdiri juga, sama dengan islam cuma yang membezakannya dari segi kedudukan tangan. Begitu juga dengan demonstrasi jika diubah mengikut prinsip-prinsip islam adakah itu juga tasyabbuh? Ia bukan tasyabbuh tapi merupakan wasilah politik dan dakwah untuk menyuarakan pendapat seperti juga di internet yang asalnya dicipta dari barat malah lebih banyak keburukan daripada kebaikan jika digunakan pada cara yang salah.

Malah Nabi s.a.w pernah bersabda :

Kalian lebih tahu hal ehwal dunia kamu.[HR Muslim di dalam sahih Muslim, kutab al-Fafhail, hadis no: 2363]

Maknanya amat jelas. iaitu agama tidak turut campur dalam urusan-urusan manusia yang melibatkan perkara duniawi  melainkan perkara ibadah. Jadi demonstrasi termasuk dalam hadis tersebut kerana ulamak lebih mengetahui apa yang diperlukan untuk mencapai sesuatu kebaikan dalam agama islam

Sebagai contoh peranan ulama besar dalam melakukan pembaharuan. Imam Abu Hanifah merupakan individu utama dalam meletakkan kaedah mengeluarkan hukum Islam terhadap isu-isu baharu yang tidak terdapat nas khusus, iaitu Qiyas.

Dr Yusof al-Qaradhawi menyatakan demonstrasi termasuk dalam Lilwasail hukmul maqasid” iaitu hukum perantara mengikut hukum tujuan. Ia seumpama tv. Ia adalah perkara yang baru. Jika digunakan untuk tujuan kebaikan maka diharuskan atau disunatkan. Jika digunakan untuk tujuan keburukan maka diharamkan.Ini termasukalah hukum demonstrasi. Ia bergantung kepada tujuan diadakan demokrasi tersebut.

Sebelum kita menjustifikasikan demonstrasi termasuk  peniruaan daripada orang kafir baik dikaji dulu secara terperinci. Kemungkinan orang baratlah yang meniru kita dan jika kita lihat banyak juga golongan Barat telah meniru kaum muslimin dalam berbagai masalah, dari masalah ilmu pengetahuan alam ,sosial, dari masalah sastera, kedoktoran dan pelbagai lagi dan penulis akan kemukakan bahawa demonstrasi pernah dilakukan oleh para sahabat samada perseorangan atau ramai.

Sebelum itu kita lihat semula apa maksud demonstrasi? salah satunya adalah "Menyatakan pandangan dan melakukannya secara terbuka "

Bukankah Abu Dzar pun menyatakan pandangan keislamannya secara terbuka berdasarkan hadis tersebut:

- Demonstrasi Abu Dzar RA saat ia baru masuk Islam. Diriwayatkan saat ia baru masuk Islam, Nabi SAW sudah melarangnya [ berdemonstrasi ] untuk menunjukkan keislamannya di depan umum, namun ia bersikap keras dan berkata: “Demi ALLAH! Akan aku sampaikan risalah ini secara terang-terangan di depan mereka semua!” dan Nabi SAW membiarkannya. Maka Abu Dzar pun melakukannya.[Shahih Muslim, IV/1919-1925 ].

- Demonstrasi para Shahabat RA, melakukan solat secara terang-terangan di Ka’bah setelah Islamnya Umar RA. Berkata Ibnu Mas’ud RA: “Sungguh kami takut melakukan solat terang-terangan di Ka’bah sebelum Umar masuk Islam, namun setelah ia masuk Islam maka ia berani mengajak mereka bertengkar, sehingga kami berani melakukan solat terang-terangan disana [ Fathul Bari’, VII/41, 177]

Jika kita lihat Abu Dzar menyatakan pandangan keislamannya secara terbuka hingga apa  yang berlaku kepada Abu Dzar yang dilakukan oleh kaum quraish terhadapnya? ..Bukankah itu hanya membahayakan diri sendiri saja.tapi Nabi membenarkan dan akhir sekali Ibn Abbas yg membantu Abu Dzar.. Ini kerana apabila sesuatu perkara jika dilakukan dapat MENINGGIKAN KALIMAH ALLAH, maka sebaiknya dilakukan walaupun ada risiko..

Dalam hadis riwayat Bukhari jil. 3 no. 1034 Rasulullah bersabda:

Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah ALLAH( tertegak), maka dia berada di jalan ALLAH.

Seperti juga umat islam yang melakukan demonstrasi kerana Allah disebabkan kezaliman tentera Israel terhadap rakyat Palestin maka ia dapat meninggikan kalimah Allah . Ini kerana hanya itu sahaja kemampuan yang dapat dilakukan oleh mereka selain boikot dan memberi sumbangan harta sebanyak mungkin..

Sebagai contoh lain hadis yang digunakan oleh Dr Yusof Qardhawi untuk membolehkan demonstrasi iaitu:

Ketika mana saidina Umar menyatakan keislamannya di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam beliau berkata: “Ya Rasulullah , bukankah kita berada di atas kebenaran samaada kita mati ataupun kita hidup?” Baginda menjawab “Demi tuhan yang mana diriku dalam kuasanya, sesungguhnya kamu berada dalam kebenaran samaada kamu mati atau pun kamu hidup.” Umar membalas “Sebab apa kita perlu bersembunyi. Demi tuhan yg membangkitkan kamu dengan kebenaran kamu mesti keluar di khalayak ramai.” Maka mereka mengeluarkan Nabi berada di dalam dua saf. Hamzah ada pada salah satu saf dan aku dalam satu saf lagi. Debu2 tanah yg halus menyelebungi perjalanan mereka. Mereka berjalan sehingga sampai masjid, aku melihat kaum quraisy dan ke arah hamzah. Orang quraisy ditimpa kesedihan yang mereka tidak pernah mereka alami sebelum itu. Dari pada peristiwa ini Rasul menamakan aku al-Faruq..(Lihat Hilyatul Aulia Juz 1 hal:40 dan Fathul Bari Juz 7 Hal:59)

Kalau lihat ia juga merujuk seperti demonstrasi dan walaupun ada ulamak  melemahkan hadis tesebut tapi ia diperkuatkan dengan hadis-hadis yang lain seperti hadis diatas dimana ABU DZAR dan UMAR melakukan dan menyatakan pandangan keislamannya secara terbuka.

Hadis itu jika dilihat setelah Umar mengisytiharkan dirinya menganut agama Islam, kaum muslimin keluar beramai-ramai  berdasarkan arahan Rasul dengan dua barisan . Satu barisan diketuai oleh Hamzah R.A. dan satu lagi diketuai oleh Umar.

Teriakan mereka terdengar begitu hebat sehinggalah mereka masuk dalam masjid. Pada pengamatan penulis tindakan tersebut semata-mata kerana mahu menunjukkan kekuatan iaitu suara kebenaran

Ketika itu kaum Quraisy  terkejut dengan keberanian Rasululluh yang tampil (berdemonstrasi)  yang  dikepalai oleh Hamzah dan satu lagi diketuai oleh Saidina Umar Ibnu al Khattab.

Walaupun demonstrasi yang dilakukan oleh sahabat dan umat sekarang berlainan tapi ia membawa maksud yang sama  iaitu menegakkan kebenaran seperti juga hadis di atas “ Demi tuhan yg membangkitkan kamu dengan kebenaran kamu mesti keluar di khalayak ramai.”Oleh itu kaedah qias boleh digunakan dalam masalah ini kerana membawa maksud yang sama  dan ia bukan termasuk dalam IBADAH KHUSUS serta perkara yang didiamkam oleh Allah adalah suatu  rahmat Allah kepada manusia.

Dalam hadis riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Albani dalam sahih sunan al-Tirmizi hadis no. 1726 (Kitab al-Libas bab pakaian kulit binatang)

Rasulullah s.a.w bersabda Yang halal adalah apa yg dihalalkan oleh Allah didalam kitabnya dan yang haram adalah apa yg diharamkan oleh Allah didalam kitabnya. Dan apa yg didiamkan oleh Allah maka ia adalah sebuah kelapangan daripadanya..

Malah ia merupakan salah satu amar makruf nahi mungkar seperti Sabda Nabi saw:

Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim).

Kata al-Nawawi (meninggal 676H):

“Sesungguhnya menyuruh kepada makruf dan mencegah dari mungkar adalah fardu kifayah. Jika dilaksanakan oleh sebahagian manusia, gugur kesalahan dari yang lain. Jika semua meninggalkannya, maka berdosalah sesiapa yang mampu melakukannya tanpa sebarang keuzuran dan ketakutan. Kemudian, ia mungkin menjadi fardu ain ke atas seseorang. Ini seperti di tempat yang tiada siapa yang tahu melainkan dia, atau tiada siapa yang mampu mencegahnya melainkan dia. Seperti seseorang yang melihat isteri atau anaknya atau hambanya melakukan mungkar atau mengurangi makruf” (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 1/217218, Beirut: Dar al-Khair).

Perlu diketahui bahawa fatwa boleh berubah mengikut  masa, tempat dan zaman. Sebagai contoh:

Umar r.a pernah membakar rumah Ruwaisyid Ats-Tsaqafi kerana menjumpai arak di rumahnya ( Fiqh Minoriti Muslim m/s 435)

Abu Bakar As-Siddiq, Ali k.w, Abdullah Az-Zubair r.a pernah membakar peliwat sebagai hukuman.  (At-Turuq al-Hukmiyah, hlm 46)

Sedangkan kita mengetahui bahawa perkara itu dilarang dalam islam.Tetapi mengapa sahabat melakukan tindakan tersebut? Sebab itu jika tidak ada cara lain untuk menegur,mencegah, dan membetulkan kemungkaran kecuali dengan perbuatan itu maka dibolehkan kerana untuk memelihara umat daripada timbulnya kemungkaran yang lebih besar  apabila hendak membolehkan sesuatu tindakan tersebut. Jika manfaat lebih banyak dari mudarat maka di bolehkan.

Jika hendak menyatakan demonstrasi membawa kerosakan sama juga di pasaraya-pasaraya dan beberapa tempat ramai dikalangan pemuda pemudi berpeleseran dan berapa banyak berlakunya penzinaan, kecurian dan pelbagai lagi masalah.Haramkanlah juga pasaraya tersebut.

Dan penulis menyatakan sekali lagi bahawa demonstrasi seperti sebuah wasilah untuk menyuarakan pendapat seperti juga internet. Di internet berbagai-bagai tuduhan dan fitnah boleh dilakukan dan berjuta-juta manusia boleh melihat dan membacanya sama ada percaya atau tidak. Kenapa anda tidak mengharamkannya terus? sedangkan mudaratnya lebih tinggi daripada demonstrasi dan mereka melakukan demonstrasi mengikut prinsip-prinsip islam jika tidak ikut bagi penulis memang dilarang sedangkan di internet mereka boleh membuat apa sahaja mengikut selera akal mereka.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu mampu dari segala jenis kekuatan dan pasukan-pasukan berkuda yang disiapkan untuk berperang untuk menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan) .[ Surah al-Anfal:60]

Jika lihat dalil tersebut adalah umum merangkumi segala jenis kekuatan dan demonstrasi dan boikot termasuk dalam dalil tersebut kerana dengan boikot boleh melumpuhkan ekonomi dan demonstrasi bergantung sepenuhnya ke atas kekuatan para peserta dan bilangan yang mengambil bahagian. Lagi ramai lagi memberi kesan seperti demonstrasi yang dirancang secara besar-besaran apabila berlakunya krisis ekonomi 1998 di Indonesia. Presiden Suharto terpaksa melepaskan jawatannya kerana desakan rakyat. Begitu juga demonstrasi mengutuk kekejaman yahudi walaupun tidak memberi kesan sepenuhnya tetapi ia dapat memberi kesedaran umat islam dan bukan islam tentang kekejaman israel dan pelbagai lagi. Malah ia dapat mempengaruhi pemerintah mereka untuk mendesak Israel kerana tekanan dari republik pendukung parti mereka, oleh sebab itulah maka kami menganggapnya termasuk amar ma’ruf nahi munkar, kerana perbuatan Israel menjajah Palestin termasuk kemungkaran besar dan mengubahnya dengan apa yang kita mampu saat ini berdasarkan kaedah usul fiqh: “Mudharat itu dicegah seberapa yang mampu”

Dalam artikel Dr Asri Zainul Abidin beliau ada mengambil pendapat al-Imam al-Jasas (wafat 370H) yang menyatakan :

“Adalah sesuatu yang diketahui umum bahawa telah menjadi iktikad seluruh kaum muslimin; apabila penduduk sesuatu negeri (kaum muslimin) dalam ketakutan dari serangan musuh, dan mereka tidak mampu menghadapinya merasa terancam negeri, nyawa dan kaum mereka, maka ketika itu wajib ke atas seluruh umat untuk keluar mempertahankan kaum muslimin dari serangan musuh. Ini adalah perkara yang tiada khilaf lagi di kalangan umat. Tiada sesiapa pun yang menyatakan harus dibiarkan ditumpahkan darah kaum muslimin” (Abu Bakr al-Jasas, Ahkam al-Quran, 4/312, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-`Arabi).

Maka wajib umat islam keluar untuk mempertahankan kaum muslimin tapi di sebabkan beberapa keadaan yang tidak mengizinkannya maka dibolehkan melakukan apa sahaja yang mampu untuk membantu umat islam.

Mengikut kaedah usul fiqh juga menyebut:

Ma La Yatim Al-Wajib Illa Bihi Fahuwa Wajib :

“Perkara yang tidak sempurna perkara wajib melainkan dengannya, maka ia juga adalah wajib”(Wahbah Az-Zuhaili, Usul Al-Fiqh Al-Islami, Dar Al-Fikr Damsyik Syria 1986

Seperti apa yang penulis sebut tadi “sebab itulah maka kami menganggapnya termasuk amar ma’ruf nahi munkar, kerana perbuatan Israel menjajah Palestin termasuk kemungkaran besar dan mengubahnya dengan apa yang kita mampu saat ini dan DIGALAKKAN berdasarkan kaedah usul fiqh tersebut kerana hanya boikot , menderma sebanyak mungkin, demontrasi dan pelbagai lagi yang mampu kita laksanakan.

Jadi bagi mereka yang tidak mampu pergi berperang buatlah sekadar yang mampu kita lakukan.malah boikot tersebut boleh menjadi lebih wajib jika ulil amri memerintah rakyat untuk memboikot .

Perlu diketahui bukan disebabkan boikot menunjukkan haram membeli barangan mereka  kerana Allah membenarkan berjual beli dengan mereka cuma lebih afdhalnya tidak berurusan tatkala islam diserang oleh bangsa mereka dan mengapa kita tidak membeli sahaja produk muslim? Bukankah itu dapat meningkatkan ekonomi umat islam? Jika beribu-ribu umat islam membeli barangan di kedai muslim kemungkinan dapat membuka satu kilang. Tidakkah kita menginginkan sebegitu? Jika kita melatihkan diri membeli produk muslim secara tidak langsung kita tidak perlu lagi bergantung pada produk mereka lagi.

Wallahua'lam

 

          Muhammad Fakhruddin Ismail

                http://addeans.blogspot.com/

1 Comment:

  1. Unknown said...
    pada saya semua perkara adalah ibadah.... masuk tandas pun ibadah... muamalat juga adalah ibadah...

Post a Comment